MICHIGAN: Seorang ibu dari Michigan ditahan baru-baru ini kerana didakwa melakukan buli siber ke atas anak perempuannya sendiri dan seorang remaja lelaki selama lebih setahun.
Kendra Licari yang juga jurulatih pasukan bola keranjang wanita didakwa mengganggu anak remajanya dengan menghantar sehingga 12 mesej di media sosial hampir setiap hari.
Pihak berkuasa terlibat dalam kes berkenaan pada Disember tahun lalu apabila Licari sendiri membuat laporan memaklumkan anak perempuannya bersama teman lelakinya ketika itu sentiasa diganggu dalam talian oleh remaja tidak dikenali.
Malah dia dan ibu kepada remaja lelaki itu bekerjasama untuk mencari individu yang bertanggungjawab, menyebabkan tiada siapa yang mengesyaki Licari adalah dalang sebenar.
Penyiasat mendapati, buli siber sistematik dilakukan Licari terhadap anak perempuannya bermula pada awal tahun lalu apabila dia mula menghantar ugutan tanpa nama dan teks yang menyakitkan hati, tetapi menyamar sebagai seseorang yang sebaya dengan gadis itu.
Helahnya terbongkar apabila polis dan pakar teknologi maklumat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pantas menjejaki aktiviti itu di alamat protokol internet (IP) Licari dan dia akhirnya mengaku melakukan perbuatan berkenaan namun enggan mendedahkan motif sebenar tindakannya.
Pendakwa raya daerah, David Barbey yang bertanggungjawab bagi kes aneh itu menggunakan istilah ‘cyber-Munchausen’ bagi menggambarkan tindakan Licari.
Menurut teori itu, dia membuli anak perempuannya secara siber supaya anaknya itu lebih memerlukannya dan sentiasa kembali kepadanya untuk minta bantuan.
Licari ditahan awal bulan ini, tetapi dibebaskan dengan bon AS$5,000 (RM22,124) namun masih berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana jenayah siber dan 5 tahun lagi kerana mengintip dan mengganggu ketenteraman.