Jangan biarkan kanak-kanak di Gaza terus derita

Jangan biarkan kanak-kanak di Gaza terus derita

SEMUA pihak perlu kekal bersolidariti untuk menghentikan penderitaan kanak-kanak di Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah kemelut perang dan gelombang pembantaian yang tidak pernah surut menyelimuti bumi Gaza, kedengaran tangisan halus dari tubuh kecil yang terluka, meraung pilu, meratapi dan menanggung sunyi di atas pemergian insan yang pernah menjadi sandaran setia untuk mereka berteduh. Realiti yang sukar untuk diterjemahkan dengan hanya sebuah kata, tentang apakah rasanya dipaksa menjadi dewasa sebelum tiba waktunya.

Zaman kanak-kanak di Gaza dirampas dan dilenyapkan dek kerakusan tentera Israel yang tiada berkesudahan. Dentuman bom, peluru berpandu dan kereta kebal sudah menjadi rutin yang mengejutkan lena mereka dari keamanan.

Di Gaza, mereka hanya diberi dua pilihan, sama ada syahid diburu peluru atau dibiar hidup menderita. Kanak-kanak, wanita, warga tua bahkan pemuda yang tidak berdosa, semuanya tidak terlepas menjadi sasaran kekejaman.

Bekas ahli parlimen dan ahli politik Sayap Kanan Israel, Moshe Feiglin secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kekerasan ke atas Gaza, malah dengan egonya menyatakan tiada satu pun nyawa rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan bayi layak dikasihi. Kenyataan ini jelas mencerminkan ideologi radikal yang semakin berleluasa dalam kalangan pemimpin Israel.

Kesatuan dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang sepatutnya bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap ‘kegilaan’ rejim Israel juga dilihat tidak upaya untuk mengangkat nilai kemanusian dan keadilan sebenar.

Menurut laporan Badan Pusat Statistik Palestin pada 5 April lalu, dikatakan lebih daripada 39,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan salah satu atau kedua orang tua akibat serangan tentera pendudukan Israel. Kenyataan itu diteruskan lagi dengan melaporkan sekitar 17,000 kanak-kanak kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat serangan yang berterusan sejak Oktober 2023.

Angka ini menjadikan krisis anak yatim di Gaza sebagai yang terbesar dalam sejarah moden, serta dipercayai angka ini akan kian meningkat, rentetan daripada pembantaian Israel ke atas penduduk Gaza yang masih lagi belum dibayangi dengan sebarang titik noktah.

Pencabulan gencatan senjata pada 18 Mac lalu dan pelaksanaan sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan makin menyukarkan lagi kehidupan anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa. Israel secara terang-terangan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.

Semua pihak tidak terkecuali memainkan peranan penting sebagai watak utama bagi memikul amanah dalam bersama-sama mengeluarkan rakyat Gaza dari kemelut kesengsaraan.

Solidariti bukan hanya sebuah kata simpati di medium media sosial, namun perlu diterjemahkan dalam bentuk sokongan yang berterusan dan konsisten. Terdapat pelbagai usaha yang boleh ditaburkan untuk membantu penduduk, khususnya kanak-kanak dan anak-anak yatim di Gaza.

Antaranya dengan menyalurkan sumbangan kepada badan-badan kemanusiaan yang sah seperti MyCARE, Cinta Gaza Malaysia dan Aman Palestin; menyebarkan kesedaran secara berterusan; boikot produk yang menyumbang kepada dana ketenteraan Israel serta mendidik masyarakat agar tidak terpedaya dengan naratif berat sebelah daripada musuh yang memutarbelit kebenaran di Gaza.

Buat umat Islam khususnya, wajib untuk mengambil bahagian mempertahankan dan membantu saudara-saudara kita yang sedang dizalimi pihak musuh.-UTUSAN

WAN NUR AQILAH WAN ABD. SAMAD
Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN