Kapal China 'ceroboh' Zon Ekonomi Eksklusif Jepun

Kapal China ‘ceroboh’ Zon Ekonomi Eksklusif Jepun

KAPAL Liaoning bersama tiga lagi kapal tentera laut China dilihat pada 7 Jun, kira-kira 300 km ke arah barat daya pulau terpencil dan tidak berpenghuni, Minami Tori.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sebuah kapal pengangkut pesawat China melakukan pelayaran paling jauh ke Lautan Pasifik pada hujung minggu lalu, dalam usaha Beijing menunjukkan keupayaan ketenteraannya di perairan terbuka.

Menurut kenyataan Ketua Turus Bersama Jepun, kapal Liaoning bersama tiga lagi kapal tentera laut China dilihat pada 7 Jun, kira-kira 300 kilometer (km) ke arah barat daya pulau terpencil dan tidak berpenghuni, Minami Tori.

Kedudukan kapal tersebut berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Jepun di sekitar pulau tersebut.

Sehari kemudian, Jepun melaporkan aktiviti pesawat pejuang dan helikopter yang berlepas serta mendarat di atas dek kapal tersebut, sebagai sebahagian daripada latihan bagi menguji keupayaan juruterbang dan kelasi dalam melaksanakan operasi tempur.

Ini dipercayai kali pertama salah satu daripada tiga kapal pengangkut pesawat China dikesan beroperasi di timur rantaian pulau kedua, gugusan strategik yang memanjang dari Jepun melalui Kepulauan Mariana dan selatan ke Guam.

Rantaian pulau pertama yang terletak lebih dekat dengan China, termasuk Kepulauan Ryukyu di selatan Jepun dan Filipina, bersama dengan rantaian pulau kedua, berperanan sebagai sempadan yang mengehadkan akses China ke Lautan Pasifik barat.

Kehadiran pangkalan tentera milik Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara sekutu lain di sepanjang kedua-dua rantaian itu turut memperkukuh kawalan pertahanan di rantau tersebut.

Sekiranya berlaku konflik melibatkan AS, seperti kemungkinan pertelingkahan ketenteraan mengenai Taiwan, China berisiko diserang pasukan AS yang dikerahkan dari pangkalan besar Amerika di Hawaii.

Keupayaan China untuk beroperasi di timur rantaian kedua dilihat sebagai usaha mengimbangi ancaman tersebut.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN