NEW YORK: Siklon salji terburuk dalam sejarah yang melanda Amerika Syarikat (AS) kelmarin menyaksikan jumlah korban meningkat kepada 50 orang, dengan Buffalo di New York merupakan bandar paling teruk terkesan apabila merekodkan 12 kematian.
Ribut salji itu juga menyaksikan banyak pemandu terperangkap dalam kenderaan masing-masing, selain bekalan elektrik terputus menyebabkan lebih 60 juta penduduk terjejas.
Ketiadaan elektrik secara tidak langsung meningkatkan kematian akibat kesejukan tahap beku di kebanyakan kawasan di seluruh negara.
NBC News melaporkan, sekurang-kurangnya 31 orang disahkan maut setakat ini, dan dijangka jumlah itu boleh bertambah jika keadaan semakin teruk.
Kebanyakan kes kematian berlaku di sekitar Buffalo di pinggir Tasik Erie di barat New York.
Jurucakap pihak berkuasa Erie, Mark Poloncarz memaklumkan, jumlah kematian akibat ribut salji itu meningkat kepada 12 orang kelmarin, iaitu bertambah tiga orang daripada sehari sebelumnya di Buffalo.
Menurutnya, mangsa terbaharu termasuk beberapa yang ditemukan dalam kenderaan dan kawasan tebing.
“Ini bukanlah Krismas yang kami inginkan atau jangkakan. Takziah saya ucapkan kepada semua keluarga yang kehilangan orang tersayang,” katanya menerusi ciapan Twitter.
Dalam pada itu, biarpun larangan memandu dikeluarkan sejak Jumaat lalu, ratusan pemandu dilaporkan terperangkap dalam kenderaan masing-masing di Erie pada hujung minggu.
Sementara itu, pihak berkuasa Buffalo meminta orang ramai untuk membantu polis melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), terutamanya mereka yang mempunyai kenderaan peluncur salji dengan menghubungi talian khas.
Selain itu, Gabenor New York, Kathy Hochul memberitahu media bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden bersetuju menyokong permintaannya untuk mengisytiharkan bencana Persekutuan.
Hochul memberitahu, sebanyak 200 tentera dikerahkan ke barat New York untuk membantu polis dan bomba mengawal situasi serta penduduk.
Selain terputus bekalan elektrik, hampir 2,000 penerbangan di seluruh AS dibatalkan. – REUTERS