Pusat bandar UK ’sunyi sepi’ akibat mogok kakitangan kereta api  - Utusan Malaysia

Pusat bandar UK ’sunyi sepi’ akibat mogok kakitangan kereta api 

STESEN Kereta Api Paddington lengang akibat mogok oleh ahli RMT semalam.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mogok besar-besaran kakitangan perkhidmatan kereta api United Kingdom (UK) yang bermula semalam menyebabkan situasi tidak ubah seperti perintah berkurung akibat Covid-19 apabila pusat bandar yang biasanya penuh sesak terus bertukar lengang.

Puluhan restoran dan pusat hiburan mengalami kerugian besar sementara berjuta-juta pekerja terpaksa bekerja dari rumah apabila kira-kira separuh daripada landasan kereta api UK menutup operasinya sepanjang hari.

Beberapa perkhidmatan hanya beroperasi antara 7.30 pagi dan 6.30 petang sementara banyak lokasi termasuk sebahagian besar Scotland dan Wales terputus hubungan selepas 40,000 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) melancarkan mogok.

Mogok yang dijalankan menjelang hari paling sibuk sempena perayaan Krismas itu menyebabkan jalan-jalan di bandar utama termasuk London, Manchester dan Leeds bertukar ‘sunyi’.

Kerajaan menjangkakan kerugian hasil jualan sehingga 1.5 bilion pound (RM8.17 bilion) apabila pesta perayaan dibatalkan.

Ramai khuatir situasi itu akan melumpuhkan ekonomi dan memaksa berjuta-juta keluarga membatalkan rancangan Krismas mereka tahun ini seperti yang pernah berlaku ketika penutupan era pandemik dua tahun lalu.

Pengarah Pemasaran restoran dan bar muzik Amazing Grace, Sammie Ellard-King berkata, mereka kehilangan dua tempahan minggu ini berjumlah hampir 50,000 pound (RM272,000) akibat mogok itu.

“Kami terpaksa menutup tapak kerana tidak mempunyai tempahan yang mencukupi. Akibatnya seramai  12 kakitangan kehilangan pendapatan berharga ketika menghampiri Krismas dan perkara ini sangat mengecewakan.

“Walaupun kami menghormati kakitangan RMT yang mogok, tetapi  selepas gelombang Omicron tahun lepas yang sudah cukup menekan, situasi kali ini memberi kesan maksimum kepada perniagaan dan kakitangan dalam minggu yang sepatutnya menjadi paling sibuk bagi kami,” ujarnya.

Berjuta-juta pekerja kini memilih untuk bekerja dari rumah sehingga sambutan Tahun Baru selepas Network Rail memberi amaran perkhidmatan akan dikurangkan dengan ketara sehingga 8 Januari ini.

Empat minggu akan datang bakal menjadi tempoh paling sukar apabila pekerja merentasi banyak industri lain termasuk jururawat, kakitangan pasukan sempadan dan pekerja pos turut merancang melancarkan mogok.

Ketua Konfederasi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS),Matthew Taylor yang mewakili sistem penjagaan kesihatan di England, Wales dan Ireland Utara berkata, kesatuan sekerja komited untuk mengekalkan perkhidmatan kecemasan dan penjagaan kritikal.

Beliau cukup yakin mogok oleh jururawat itu tidak menyebabkan masalah yang besar kepada pesakit.

Bagaimanapun beliau berkata, akan berlaku gangguan kepada operasi bukan kecemasan dan temujanji pesakit luar apabila jururawat melancarkan mogok bermula esok selepas perbincangan dengan Kerajaan gagal.

Ketua Kolej Kejururawatan Diraja (RCN), Pat Cullen berkata, mogok akan diteruskan selepas Setiausaha Kesihatan, Steve Barclay enggan membincangkan isu kenaikan gaji dengan beribu-ribu temu janji dibatalkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Ahli fisioterapi di England dan Wales serta guru-guru dari Institut Pendidikan Scotland dilaporkan turut mengundi untuk mengadakan mogok akibat isu sama Januari ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya