Pencemaran LRA Sungai Linggi: JAS ambil tiga sampel air Sungai Batang Penar

Pencemaran LRA Sungai Linggi: JAS ambil tiga sampel air Sungai Batang Penar

PEGAWAI JAS mengambil sampel air daripada kawasan sebuah premis kilang susulan kejadian pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Seremban pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil tiga sampel air di Sungai Batang Penar bagi dianalisa Jabatan Kimia susulan pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, JAS dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri sudah berada di lokasi pencemaran sebaik menerima aduan bagi menjalankan siasatan berkaitan pencemaran itu pada pukul 7.40 pagi ini.

Menurutnya, pasukan siasatan JASNS bersama BKSA menjalankan pemeriksaan di lembangan Sungai Linggi dan pihak BKSA menemukan bau disyaki bahan bakar iaitu petrol atau diesel di Sungai Batang Penar.

“Pasukan penyiasat menjalankan pemeriksaan ke kilang-kilang berhampiran kawasan penemuan dan sebuah kilang dikesan menghasilkan bau yang sama pada air sungai tersebut.

“Bagaimanapun, punca pencemaran tidak dapat ditemukan, hanya terdapat kesan minyak dan bau disyaki petrol atau diesel dalam longkang di dalam kawasan premis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujar Veerapan lagi, sebanyak tiga sampel diambil bagi tujuan analisa komposisi iaitu di Sungai Batang Penar, longkang dalam premis dan longkang keluar daripada premis untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Arahan telah dikemukakan kepada premis bagi tindakan serta merta untuk membendung apa-apa efluen keluar daripada premis ke longkang awam dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, operasi di LRA Sungai Linggi di sini terpaksa ditutup sementara berikutan terdapat masalah kualiti air mentah susulan terdapat bau minyak yang tinggi.

Pusat Khidmat Pelanggan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam satu kenyataan memaklumkan, bau minyak yang tinggi iaitu 19 ton menyebabkan pengeluaran pemprosesan air terawat terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan. 

Keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di Port Dickson mengalami gangguan bekalan air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN