LIMA: Peru mengisytiharkan darurat di seluruh negara berikutan bantahan ganas terhadap penyingkiran bekas Presiden, Pedro Castillo yang menyebabkan tujuh orang terkorban.
Pengumuman itu dibuat ketika seorang hakim mengarahkan Castillo kekal di penjara atas tuduhan memberontak dan konspirasi selama 48 jam lagi sebelum perbicaraan pembebasan.
Bantahan dan sekatan jalan raya di seluruh negara berterusan sejak semalam selepas penahanan Castillo minggu lalu kerana cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri.
Menteri Pertahanan, Alberto Otarola mengumumkan keadaan darurat 30 hari baharu kerana tindakan vandalisme dan keganasan sekatan jalan raya.
Beliau berkata, langkah itu melibatkan penggantungan kebebasan bergerak dan berhimpun termasuk perintah berkurung pada waktu malam.
Presiden, Dina Boluarte sekali lagi bertindak meredakan ketegangan dengan mencadangkan pilihan raya diteruskan, kali ini pada Disember tahun depan.
Ahad lalu, Boluarte sudah berjanji akan berusaha untuk mempercepatkan pilihan raya dari tahun 2026 kepada tahun 2024, tetapi tindakan itu tidak cukup untuk memuaskan hati penyokong Castillo yang menuntut pembebasannya dan pilihan raya lebih awal.
Minggu lalu, seorang hakim mengarahkan Castillo ditahan selama tujuh hari dan sepatutnya dibebaskan kelmarin.
Bagaimanapun, pendakwa raya memfailkan permintaan lewat petang Selasa untuk menahannya dalam tahanan pra-perbicaraan selama 18 bulan.
Hakim, Juan Checkley kelmarin menangguhkan pendengaran mengenai permintaan baharu itu selepas peguam pembelaan mendakwa mereka tidak menerima semua dokumen daripada pendakwa raya.-AFP










