SUNGAI PETANI: Individu yang dipercayai membelasah isterinya sehingga patah tulang rusuk, tulang belakang dan keguguran dalam kejadian di Ambangan Heights di sini, Khamis lalu direman tujuh hari.
Perintah reman hingga Rabu ini terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri, semalam bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dan berpelitup muka tiba di pekarangan Mahkamah Sungai Petani, kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis.
Suspek ditahan di Alor Setar, petang kelmarin selepas lima hari bersembunyi sejak kejadian terbabit.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek telah berkahwin sebanyak sembilan kali.
Beliau berkata, lelaki itu tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menyasarkan wanita bekerjaya terutama penjawat awam bagi menumpang kesenangan.
Katanya, suspek dipercayai mempunyai tiga isteri yang masih sah dan 11 orang anak dengan anak sulung berusia lingkungan awal 20-an.
“Pada 17 Jun 2021, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor dan telah dipenjara 10 tahun tetapi dibebaskan sementara dengan jaminan mahkamah kerana menunggu proses rayuan.
“Suspek turut memiliki empat rekod jenayah lain tidak termasuk kes di Johor Bahru itu, yang mana kes-kes berkenaan memiliki persamaan iaitu mencederakan isteri-isteri dan teman wanitanya selain menyembunyikan kelahiran,” katanya.
Adzli berkata, kes di bawah Seksyen 323, 506, 325 dan 318 Kanun Keseksaan telah dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Alor Setar pada 3 Ogos 2025.
Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan sementara dalam proses perbicaraan.
Beliau berkata, dalam kes terbaharu membabitkan isterinya yang bekerja sebagai jururawat, suspek melarikan diri sejak abang mangsa membuat laporan polis pada 23 April lalu.
“Dia diberkas di sebuah inap desa. Sebuah kereta Mercedes Benz dan empat telefon bimbit turut dirampas, polis turut menemui sebatang besi dan penyangkut baju plastik yang dipercayai digunakan bagi mencederakan mangsa.
“Alasan suspek adalah terlalu remeh seperti lambat mandi apabila disuruh,” katanya. – UTUSAN










