NEW YORK: Kediaman penthouse tertinggi di dunia yang terletak di tingkat atas Menara Central Park menampilkan pemandangan bandar raya New York yang menakjubkan.
Bagaimanapun, kediaman mewah itu turut dicemari beberapa masalah akibat angin kencang seperti bunyi siulan yang kuat.
Lapor Daily Mail, penthouse yang dikenali sebagai ‘The One Above All Else’ bernilai AS$250 juta (RM1.10 bilion).
Kediaman itu mempunyai tujuh bilik tidur dan sembilan bilik mandi dengan jumlah keseluruhan 23 bilik, yang terletak di atas menara setinggi 472.44 meter menghadap pemandangan Central Park.
Malah, bangunan besar itu turut membolehkan para penghuninya menyaksikan pemandangan atas Bangunan Empire State.
Bahagian tingkat atas di bangunan seperti itu biasanya dikhaskan untuk pejabat.
Penthouse itu ketika ini mengalami beberapa masalah unik akibat angin kencang yang melanda latar langit bandar raya New York.
Dalam satu lawatan ke penthouse itu, wartawan Brook Silva dari CBS melaporkan kediaman itu dicemari angin kencang terutamanya pada musim sejuk yang menyebabkan pintu di belakangnya kuat.
Katanya, bunyi siulan angin bernada tinggi turut bergema di dalam penthouse itu.
Jelas Silva, ejen hartanah mengaitkan bunyi itu dengan cuaca sejuk dialami ketika ini, dan menyifatkannya sebagai ‘gangguan besar’.
Sementara itu, arkitek Adrian Smith dan Gordon Gill yang pernah mereka bentuk beberapa bangunan tertinggi dunia, menyatakan terdapat perbezaan antara bekerja dan tinggal di bangunan pencakar langit yang besar.
“Sepertimana banyak bangunan tinggi menghadapi angin kencang, Menara Central Park dilengkapi dengan pemberat di bahagian atas yang bertindak sebagai bandul yang menyebabkan bangunan itu bergoyang ke arah melawan arus angin,” jelas laporan itu.