Moldova gantung lesen 6 stesen TV berhubung liputan konflik Russia-Ukraine - Utusan Malaysia

Moldova gantung lesen 6 stesen TV berhubung liputan konflik Russia-Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHISINAU: Pihak berkuasa Moldova menggantung lesen operasi enam saluran televisyen di negara itu yang menyiarkan liputan berita mengenai insiden pencerobohan Russia di Ukraine.

Memetik laporan Al Jazeera, Suruhanjaya Situasi Luar Biasa Moldova memaklumkan lesen operasi saluran First in Moldova, RTR Moldova, Accent TV, NTV Moldova, TV6 dan Orhei TV akan digantungkan.

Suruhanjaya itu mendakwa keputusan itu diambil selepas mendapati semua stesen televisyen berkenaan menyiarkan maklumat mengelirukan dan liputan berita tidak tepat mengenai perang Russia di Ukraine.

Malah, suruhanjaya itu juga mendakwa enam stesen televisyen tersebut cuba memanipulasi pandangan rakyat dengan menyampaikan maklumat yang mengelirukan.

“Keputusan menggantung lesen operasi saluran televisyen itu setelah Majlis Audiovisual Moldova mendapati `kekurangan maklumat yang benar dalam liputan acara nasional dan pencerobohan Russia di Ukraine.

“Tindakan itu bertujuan mencegah risiko penyebaran maklumat tidak tepat dan cubaan memanipulasi pandangan umum sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat,” jelasnya.

Sebanyak empat daripada enam saluran televisyen yang digantung dilaporkan kerap menghantar semula program daripada saluran TV Russia.

Malah, empat saluran televisyen itu juga diharamkan oleh Majlis Eropah sebagai sebahagian gelombang sekatan baharu dikenakan terhadap Russia.

Dalam pada itu, pihak pengurusan stesen TV6 menyifatkan tindakan penggantungan lesen tersebut sebagai tidak berasas dan menyekat hak bersuara atau kebebasan media untuk melaporkan isu sebenar mengenai konflik berkenaan.

Sementara itu, Presiden Moldova, Maia Sandu menyambut baik keputusan suruhanjaya itu dengan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk menghalang sebarang percubaan yang menggugat kestabilan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN