JAKARTA: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda pulau Jawa, Indonesia pada bulan lalu dilaporkan meningkat kepada 602 orang.
Menurut pihak berkuasa, terdapat kes kematian yang tidak dilaporkan di bandar yang dilanda bencana tersebut.
Gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter melanda bandar Cianjur di wilayah paling padat dengan penduduk di Jawa Barat pada 21 November lalu.
Dilaporkan, banyak mangsa terbunuh dalam kejadian tanah runtuh atau bangunan runtuh.
Jurucakap pentadbiran Cianjur, Adam berkata, jumlah kematian baharu itu meningkat daripada 334 kes yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, jumlah kes baharu itu berdasarkan data dikumpul daripada penduduk di seluruh bandar.
Jelas beliau, ramai penduduk bergegas mengebumikan jenazah saudara mara mereka yang meninggal dunia dalam bencana itu tanpa melaporkan kematian berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya ada yang meninggal dunia, penduduk Cianjur biasanya segera mengebumikan mereka.
“Disebabkan situasi panik, mereka yang meninggal dunia segera dikebumikan oleh saudara-mara tanpa memaklumkan kepada agensi kesihatan setempat.
“Jadi, ia kemudian didedahkan bahawa seramai 602 orang meninggal dunia apabila dikira secara rasmi,” katanya.
Agensi penyelamat tempatan yang dikenali sebagai BPBD, menyiarkan jumlah kematian baharu itu di media sosial.
Malah, seorang pegawai dari agensi itu, Wawan Setiawan turut mengesahkan angka kematian itu kepada AFP.
Semalam, agensi berita Antara melaporkan dengan memetik kenyataan Ketua Daerah Cianjur, Herman Suherman yang memaklumkan jumlah kes kematian baharu adalah seramai 602 orang. – AFP