Gempa bumi 6.4 magnitud gegar utara California - Utusan Malaysia

Gempa bumi 6.4 magnitud gegar utara California

KEADAAN rumah yang rosak akibat gempa bumi melanda utara California. - REUTERS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SACRAMENTO: Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggegarkan pantai utara California.

Bencana itu turut mengakibatkan runtuhan batu, kerosakan pada jambatan, beberapa jalan raya dan rumah selain menyebabkan hampir puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku pada kedalaman agak cetek itu melanda kira-kira 40 kilometer (km) barat daya bandar pelabuhan Eureka di daerah Humboldt.

Jelas agensi itu, beberapa siri gegaran susulan direkodkan selepas gempa bumi itu berlaku.   

Malah, USGC meramalkan lebih banyak gegaran susulan akan berlaku dalam masa beberapa hari akan datang di kawasan berkenaan, kira-kira 402km barat laut San Francisco.     

Pasukan perkhidmatan kecemasan mengesahkan kawasan perumahan di Lembah Sungai Eel mengalami kerosakan yang agak besar akibat gempa bumi itu.

Pejabat Syerif Daerah Humboldt memaklumkan kira-kira 11 orang mengalami kecederaan.

“Selain itu, dua orang dilaporkan meninggal dunia akibat kecemasan perubatan yang berlaku semasa dan/atau selepas gempa bumi tersebut,” jelas pejabat itu dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Pejabat Syerif Daerah Humboldt tidak memperincikan butiran lanjut mengenai kes kematian itu.

“Kerja-kerja penilaian sedang dilakukan dengan mengambil kira struktur yang rosak ketara termasuk saluran gas dan air yang diperhatikan dalam komuniti Rio Dell dan kerosakan sederhana pada harta benda di seluruh Lembah Sungai Eel,” jelasnya.   

Sementara itu, menurut syarikat Gas dan Elektrik Pasifik, lebih 70,000 kediaman penduduk dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik di Ferndale dan sekitar daerah Humboldt.

Syarikat itu bagaimanapun tidak dapat menyatakan bila bekalan elektrik akan dipulihkan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya