BEIJING: China kini mengecilkan skop takrifan kematian akibat Covid-19, sekaligus mengurangkan statistik kematian secara drastik ketika kes semakin meningkat sejak peraturan sifar Covid dilonggarkan awal bulan ini.
Menurut pihak berkuasa, tiada kematian baharu dicatatkan dalam kemas kini statistik Covid-19 Rabu lalu, walaupun terdapat laporan meluas menunjukkan gambar hospital yang penuh sesak dan keadaan krematorium dengan deretan kereta jenazah.
Lapor The Guardian, jumlah kematian rasmi sejak wabak itu bermula di Wuhan tiga tahun lalu terhenti pada angka 5,241 sejak Rabu lalu dan jumlah tersebut disifatkan sangat rendah berbanding banyak negara lain yang kurang penduduknya.
Pakar penyakit berjangkit, Profesor Wang Guiqiang ketika menghadiri sidang akhbar Majlis Negeri memaklumkan, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan baru-baru ini telah menyemak semula garis panduan penetapan saintifik dan objektif berhubung kematian yang disebabkan oleh pandemik coronavirus.
Garis panduan baharu itu hanya mengambil kira kematian yang disebabkan oleh radang paru-paru dan kegagalan pernafasan pada pesakit yang dijangkiti virus tersebut untuk diklasifikasikan sebagai kematian akibat Covid-19.
“Kematian yang disebabkan oleh penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular atau serebrovaskular dan serangan jantung tidak diklasifikasikan sebagai kematian yang disebabkan oleh coronavirus,” kata Wang.
Beliau berkata, berbanding wabak pertama Covid-19 pada awal 2020 apabila kebanyakan pesakit meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan, punca utama kematian akibat jangkitan Omicron adalah penyakit lain dan kegagalan pernafasan secara langsung disebabkan oleh jangkitan varian baharu itu jarang berlaku.
Tetapi kaedah baharu itu bertentangan dengan panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan kebanyakan negara kini menggunakan ‘jumlah kematian berlebihan’ sebagai ukuran yang lebih tepat untuk menunjukkan kesan sebenar wabak itu.
Kematian berlebihan ditakrifkan sebagai perbezaan jumlah kematian ketika krisis berlaku berbanding dengan yang dijangkakan dalam keadaan normal.
Jelas WHO, kematian berlebihan Covid-19 menyumbang kepada kedua-dua jumlah kematian yang dikaitkan secara langsung dengan virus serta kesan tidak langsung, seperti gangguan kepada perkhidmatan kesihatan penting atau gangguan perjalanan.
Justeru, kaedah baharu China untuk mengira kematian Covid-19 yang mengecualikan beberapa penyakit asas itu, akan menyukarkan WHO untuk membandingkan punca kematian dengan negara lain.