LONDON: Beberapa aktivis meminta bantuan segera untuk menyelamatkan seramai 160 pelarian Rohingya yang terkandas dalam bot rosak berhampiran Malaysia.
Pelarian itu termasuk kanak-kanak kecil dikatakan terkandas di laut tanpa makanan atau air selama beberapa hari.
Lapor The Guardian, menurut aktivis, bot itu yang kini berada berhampiran perairan Malaysia, dipercayai berlepas dari Bangladesh pada 25 November lalu.
Pengarah Arakan Project, Chris Lewa memaklumkan bot dinaiki kumpulan pelarian itu bocor dan ramai tidak mempunyai air atau makanan.
“Tiada sesiapa yang mahu mengambil tanggungjawab tersebut,” katanya.
Menurut Lewa, berdasarkan maklumat diberikan oleh pelarian berkenaan, bot itu berada dalam kawasan mencari dan menyelamat Malaysia.
“Kami mendapat maklumat mengenai keberadaan bot tersebut, nasib baik bot itu mempunyai telefon satelit. Walaupun ada demikian, tiada bantuan diberikan,” katanya.
Tambah Lewa, sekurang-kurangnya empat bot meninggalkan Bangladesh antara 25 dan 27 November lalu.
Dalam pada itu, seorang aktivis Rohingya, Mohammed Rezuwan Khan berkata, kakaknya bersama anak perempuan berusia 5 tahun antara kumpulan pelarian yang menaiki bot itu yang turut mengalami kerosakan enjin.
“Mereka perlu diselamatkan segera kerana tidak mempunyai air dan makanan. Pelarian itu menangis dan meminta bantuan diselamatkan dalam apa jua cara sekalipun,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi kumpulan kerja Rohingya di Asia Pacific Refugee Rights Network, Lilianne Fan berkata, kali terakhir seorang ahli keluarga berhubung dengan pelarian dalam bot itu pada pukul 4 petang, Jumaat lalu dan masih belum terima sebarang bantuan.
Semalam, Médecins Sans Frontières (MSF) dalam satu kenyataan menggesa kerajaan Malaysia agar segera membenarkan bot membawa kumpulan pelarian itu mendarat dengan selamat.