WARSAW: Poland meletakkan pasukan tenteranya dalam keadaan siap siaga selepas serangan peluru berpandu meragut dua nyawa di sebuah kawasan perkampungan berhampiran sempadan Ukraine.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak sekiranya perang yang berlaku di Ukraine boleh merebak ke Poland.
Washington dan sekutunya membuat penegasan untuk menyiasat serangan peluru berpandu itu sebelum menetapkan langkah yang seterusnya dengan Presiden Joe Biden menolak kemungkinan senjata tersebut dilancarkan dari Russia.
“Kami bersetuju untuk menyokong siasatan Poland terhadap insiden itu dan kami akan pastikan apa sebenarnya yang berlaku bagi menentukan langkah seterusnya,” kata Biden selepas melakukan rundingan dengan negara G7 dan pemimpin Eropah.
Rundingan itu dilakukan semasa sidang kemuncak G20 berlangsung di Bali.
Ditanya adakah peluru berpandu tersebut dilancarkan dari Russia, Biden menegaskan ‘maklumat awal tidak menunjukkan perkara tersebut’.
“Mungkin bukan dilancarkan dari Russia dan kita akan teliti hal itu,” ujarnya,
Serangan peluru berpandu itu mencetuskan kebimbangan pemimpin dunia, termasuk Russia yang ketika ini masih melancarkan perang di Ukraine.
Namun, Presiden Poland, Andrzej Duda meminta semua pihak supaya kekal tenang dan menyifatkan serangan itu sebagai ‘insiden terpencil’.
“Saya tidak rasa lebih banyak serangan peluru berpandu akan berlaku lagi selepas ini, jadi jangan risau dan semua pihak diminta bertenang,” katanya.
Kementerian Luar Poland sebelum ini memanggil Duta Russia ke Warsaw untuk menjelaskan lebih lanjut berhubung insiden itu.
Berikut reaksi beberapa pemimpin dunia terhadap serangan tersebut
1) “Kami sudah memberikan semua maklumat dan menjelaskan fakta sebenar, selain menolak sekeras-kerasnya dakwaan peluru berpandu itu dilancarkan oleh tentera kami,”
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky
2) “Media Poland dan pihak berkuasanya sengaja mencetuskan provokasi untuk memburukkan situasi dengan menyatakan roket itu mungkin milik Russia. Kami tegaskan, tiada serangan dilancarkan di kawasan itu,”
Kementerian Luar Russia
3) “Kerajaan Britain bersedia tawarkan sebarang bantuan kepada Poland berhubung insiden yang berlaku,”
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak
4) “Kami berdiri teguh bersama Poland dan saling berhubung dengan pihak berkuasa negara itu,”
Kesatuan Eropah