SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 44 tahun didakwa semalam kerana sengaja menyebabkan gangguan kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, dengan mengugut untuk membakar firma teknologi Seagate Singapore.
Chai Fui Chet didakwa membuat komunikasi ugutan itu melalui Facebook Messenger kepada Hsien Loong pada 7 November lalu, kira-kira pukul 1.51 petang di bangunan Istana.
Rakyat Malaysia itu bakal menghadapi satu pertuduhan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan.
Dia ditahan reman di Institut Kesihatan Mental untuk pemeriksaan perubatan dan akan kembali ke mahkamah pada 9 Disember ini.
Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, denda sehingga SGD$5,000 (RM16,274), atau kedua-duanya. – AGENSI