Keputusan MH17, Russia saifatkan Belanda berat sebelah, penuh skandal

Keputusan MH17, Russia sifatkan Belanda berat sebelah, penuh skandal

SEBAHAGIAN daripada serpihan badan pesawat MH17 yang berkecai selepas terhempas akibat ditembak peluru berpandu BUK di timur Ukraine pada Julai 2014. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menolak keputusan mahkamah Belanda untuk mensabitkan dua rakyatnya kerana menembak jatuh pesawat MH17 dan menyifatkan prosiding itu penuh skandal serta tidak adil.

Hakim mensabitkan kesalahan membunuh terhadap tiga tertuduh berikutan peranan mereka dalam tragedi Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine pada 2014 yang membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup walaupun tanpa kehadiran mereka.

Ketiga-tiga mereka ialah bekas ejen perisikan Russia, Igor Girkin dan Sergey Dubinskiy, serta seorang pemimpin pemisah Ukraine, Leonid Kharchenko.

Mahkamah Belanda juga menegaskan Russia mempunyai kawalan menyeluruh terhadap pasukan pemisah di timur Ukraine ketika pesawat itu ditembak jatuh.

Kementerian Luar Russia berkata, mahkamah berada di dalam tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini daripada ahli politik, pendakwa raya dan media Belanda untuk mengenakan keputusan bermotifkan politik.

“Perbicaraan di Belanda mempunyai setiap peluang untuk menjadi salah satu yang paling skandal dalam sejarah prosiding undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Moscow sebelum ini berulang kali menafikan mereka bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli Parlimen Russia, Andrei Klishas memberitahu agensi berita Tass bahawa Moscow tidak akan mengekstradisi Girkin dan Dubinskiy kerana keputusan mahkamah itu tidak akan mempunyai sebarang akibat undang-undang.

Kementerian Luar Russia menyatakan, pendakwa raya mengabaikan semua bukti yang dikatakan menunjukkan peluru berpandu itu mungkin dilancarkan oleh tentera Ukraine dari wilayah yang dikawal oleh Kyiv.

“Kami amat kesal kerana Mahkamah Daerah di The Hague mengabaikan prinsip keadilan saksama yang memihak kepada keadaan politik semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kyiv mengalu-alukan sabitan pembunuhan berkenaan dan menegaskan mereka yang mengarahkan serangan itu mesti menghadapi perbicaraan.

“Keputusan penting mahkamah di The Hague. Hukuman pertama bagi mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh #MH17.

“Hukuman untuk semua kekejaman Russia dahulu dan sekarang tidak dapat dielakkan,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam Twitter.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba memuji usaha bersama yang dilakukan oleh Ukraine, Belanda, Belgium, Australia, dan Malaysia.

“Keputusan hari ini menghantar mesej kepada Russia bahawa tidak ada pembohongan yang boleh membantu melarikan diri daripada keadilan. Semua penjenayah dalam rantaian perintah Russia akan bertanggungjawab,” tulisnya di Twitter.

Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak pula berkata, keputusan itu menghantar isyarat jelas kepada seluruh dunia termasuk Russia sendiri, bahawa setiap jenayah perang yang dilakukan oleh Russia akan didokumenkan, disiasat dan dibawa ke pengadilan tidak kira berapa lama masa yang diperlukan.

PUTIN LINDUNGI PEMBUNUH?

Sementara itu, Menteri Luar Australia, Penny Wong, turut menggesa Russia menyerahkan tiga tertuduh yang didapati bersalah menembak jatuh pesawat MH17 dan menyelar Presiden Vladimir Putin kerana ‘melindungi pembunuh’.

Penny berkata, keputusan itu mengesahkan ‘Persekutuan Russia bertanggungjawab’ menyebabkan kehilangan kesemua 298 nyawa yang berada dalam pesawat terbabit.

“Kami menggesa Russia untuk menyerahkan mereka yang disabitkan supaya boleh menjalani hukuman berhubung jenayah kejam mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak mana pun cubaan untuk mengelak, menyimpang atau mengemukakan maklumat salah daripada Russia, ia tidak boleh mengelak daripada fakta sebenar dan bertanggungjawab.

Tegasnya, keengganan Russia untuk menyerahkan tertuduh hanya membuktikan betapa kejinya perwatakan Putin yang masih melindungi pembunuh selepas terbukti bersalah. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.