SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, muncul bersama anak perempuannya di khalayak ramai buat kali pertama, dalam gambar menarik yang menunjukkan kedua-duanya berpegangan tangan sebelum pelancaran peluru berpandu balistik terbesar negara itu semalam.
Menurut portal berita BBC, gadis itu, dipercayai bernama Kim Chu-ae, menyertainya pemeriksaan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua bersama bapanya.
Menurut Agensi berita negara KCNA, Korea Utara menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-17 semalam.
Jong-un memimpin salah satu negara yang paling rahsia di dunia, dan sangat sedikit maklumat yang diketahui tentang kehidupan peribadinya.
Beberapa gambar diterbitkan oleh agensi berita KCNA menunjukkan kedua-dua beranak itu berpegangan tangan semasa mereka berbual, bercakap dengan pegawai, memeriksa peluru berpandu dan menonton pelancaran dari dek penonton.
Kehadiran anak perempuan Jong Un yang berpakaian serba putih itu memberi kejutan besar kerana kewujudannya tidak pernah disahkan secara terbuka sebelum ini.
Menurut pakar, Jong Un dipercayai mempunyai seramai tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki.