GUA MUSANG: Penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini terus berdepan penderitaan apabila terpaksa menumpang mandi di hentian rehat dan rawat (R&R) serta sungai malah mengangkut bekalan air sejauh 40 kilometer susulan gangguan bekalan sejak tiga minggu lalu.
Situasi itu bukan sahaja menjejaskan rutin harian malah membebankan golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Seorang penduduk, Sahazudin Mohammad, 52, berkata, ketiadaan bekalan air mengakibatkannya terpaksa ke R&R Rantau Manis untuk membersihkan diri.
Katanya, gangguan bekalan air sejak tiga minggu lalu menyulitkan urusan lebih 3,000 penduduk Taman Agropolitan Rantau Manis ketika bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya terpaksa pergi ke R&R untuk mandi walaupun ada tandas di rumah sendiri. Air di rumah pula hanya ada kira-kira pukul antara 12 tengah malam hingga 6 pagi dan sangat perlahan.
“Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) ada membuat pengisian air di tangki, namun tidak cukup untuk menampung kegunaan dan keperluan penduduk di kawasan ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nasah Ya, 55, berkata, dia terpaksa ke bandar Gua Musang sejauh 20 kilometer sehala bagi mendapatkan bekalan air.
“Tak sanggup sebenarnya untuk berulang-alik sejauh 40 kilometer tetapi terpaksa kerana rumah tiada air.
“Saya pernah juga cuba ambil air di R&R, tetapi malu kerana ada yang pernah menegur perbuatan itu. Jadi, saya mengambil air di kawasan masjid dan rumah keluarga di bandar Gua Musang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh oleh pihak AKSB meskipun langkah mengagihkan lebih 7,000 liter kapasiti air kepada penduduk dilakukan.
“Kita mengharapkan penyelesaian jangka panjang kerana masalah ini dilaporkan berlaku sejak 2014 dan sering berulang ketika musim perayaan.
“Penduduk tidak sepatutnya terus berdepan kesukaran mendapatkan bekalan asas seperti air kerana tidak lama lagi sekolah baharu akan dibuka di kawasan ini dan semestinya memerlukan penggunaan air yang banyak,” katanya.
Jabatan Korporat AKSB memaklumkan, masalah gangguan bekalan air di Taman Agropolitan Rantau Manis berpunca daripada peningkatan mendadak permintaan air terutama ketika musim perayaan dan kapasiti loji rawatan air yang telah melebihi tahap maksimum.
Katanya, sumber bekalan air bagi kawasan berkenaan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi yang kini beroperasi pada kadar 5.2 juta liter sehari (MLD) iaitu melebihi kapasiti asal loji.
AKSB telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dengan pengisian ke tangki statik di kawasan terjejas sebanyak dua kali sehari.-UTUSAN










