PETALING JAYA: Pasaran saham di Asia menjunam pada Isnin tatkala pelabur bersedia untuk konflik Asia Barat berpanjangan yang mendorong harga minyak ke arah rekod tertinggi bulanan, sekali gus mencetuskan lonjakan inflasi dan risiko kemelesetan di global.
Indeks Nikkei Jepun susut 4.7 peratus, menjadikan jumlah kerugian bagi Mac hampir 14 peratus.
Pasaran Korea Selatan jatuh 4.2 peratus, manakala indeks luas MSCI Asia Pasifik di luar Jepun merosot 1.2 peratus
Niaga hadapan S&P 500 susut 0.7 peratus dan Nasdaq turun 0.9 peratus. Di Eropah, niaga hadapan EUROSTOXX 50 dan DAX masing-masing merosot 1.5 peratus, manakala FTSE turun 1.0 peratus.
Minyak mentah Brent naik 3.0 peratus kepada AS$115.98 (RM466.28) setong, menjadikan kenaikan bulanannya 60 peratus dan melepasi lonjakan selepas pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada 1990.
Pada 5 petang semalam, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 24.75 mata kepada 1,687.90, berbanding 1,712.65 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu. Indeks penanda aras dibuka negatif pada 1,702.08.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, aliran dana asing ke pasaran Malaysia kekal relatif seimbang, dengan pelabur asing masih mencatat pembelian bersih sepanjang minggu lalu.
Namun begitu, beliau berkata, sentimen pasaran kekal tidak menentu dan sangat responsif kepada perkembangan semasa.
“Corak dagangan kini lebih dipacu oleh tajuk utama dan perkembangan geopolitik harian, berbanding asas. Ini menunjukkan bahawa walaupun tiada aliran keluar yang ketara, tahap keyakinan pelabur masih bersifat taktikal dan jangka pendek.
“Sektor teknologi dan perindustrian merupakan antara yang paling terkesan, memandangkan sensitiviti tinggi terhadap permintaan global, kos rantaian bekalan dan tekanan margin.
“Apabila kejutan ini berlarutan memasuki bulan kedua, kesan limpahan mula dilihat ke sektor lain seperti perbankan dan pembuatan, terutamanya melalui keadaan kewangan yang lebih ketat dan peningkatan kos input,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata, sektor berkaitan komoditi khususnya minyak dan gas muncul sebagai penerima manfaat utama, disokong oleh paras harga minyak yang tinggi serta prospek pendapatan yang lebih kukuh.
“Kenaikan harga minyak bertindak sebagai kejutan kos yang meluas dalam ekonomi. Ia meningkatkan kos input secara langsung melalui tenaga dan logistik serta secara tidak langsung melalui tekanan harga di sepanjang rantaian bekalan.
“Keadaan ini berpotensi menekan margin keuntungan, terutamanya dalam sektor yang mempunyai kuasa penetapan harga yang terhad seperti pembuatan dan pengangkutan,” ujarya.
Mohd. Sedek berkata, peluasan konflik daripada Selat Hormuz ke Bab el-Mandeb sebagai laluan alternatif utama meningkatkan risiko terhadap keselamatan bekalan minyak global.
“Penglibatan Houthi yang mempunyai pengaruh di kawasan tersebut mewujudkan risiko dwi laluan yang memberi tekanan kepada kedua-dua laluan utama dan alternatif perdagangan minyak.
“Dalam konteks ini, paras harga semasa boleh dilihat sebagai sebahagian daripada rejim harga tinggi baharu dalam jangka pendek.
“Brent berpotensi melepasi paras AS$118 (RM474) setong, iaitu paras tertinggi setakat konflik ini dan seterusnya menguji paras AS$120 (RM482) setong sekiranya gangguan laluan perkapalan berterusan atau kos insurans serta logistik meningkat dengan ketara,” jelasnya.
Beliau berkata, daya tahan Bursa Malaysia disokong oleh pendedahan indeks kepada saham berkaitan minyak dan gas yang mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak.
“Komposisi FBMKLCI yang lebih defensif dengan pemberat lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan sebahagian saham pengguna membantu mengurangkan tekanan penurunan,” katanya. – UTUSAN









