Banteras pemandu mabuk

Banteras pemandu mabuk

SEORANG lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan penunggang motosikal maut di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor, kelmarin direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nyawa seorang bapa kepada tiga anak kecil melayang dalam sekelip mata, diragut pemandu mabuk yang sepatutnya tidak berada di atas jalan raya.

Tragedi di Klang, Selangor kelmarin memberikan amaran bahawa sikap sambil lewa pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah perlu dibanteras dan dihentikan.

Kejadian yang menimpa Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, itu juga mencetuskan kemarahan dan tuntutan tegas daripada pelbagai pihak agar kerajaan bertindak tanpa kompromi kepada pelaku.

Ahli politik, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai mendesak agar undang-undang diperketatkan bagi memastikan insiden seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tiada ruang lagi untuk berkompromi dengan individu yang memandu di bawah pengaruh arak mahupun dadah kerana jelas ia mengancam nyawa orang lain.

Katanya, tragedi itu membuktikan keperluan mendesak untuk tindakan lebih tegas namun bukan semata-mata bergantung kepada hukuman berat.

Menurutnya, hukuman sedia ada terhadap pelaku sudah memadai malah pindaan terhadap undang-undang sedia ada ada termasuk cadangan hukuman mati dikenakan terhadap pesalah juga adalah tidak perlu.

Jelasnya, apa yang lebih pen­ting kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kesalahan perlu dipertingkatkan malah sejak dari bangku sekolah lagi.

“Isu ini bukan tentang hukuman tetapi kesedaran masyarakat. Oleh itu, kerajaan tidak boleh berkompromi dan perlu mengambil langkah yang tegas dengan mendidik masyarakat mengenai perkara-perkara ini.

“Hukuman gantung sampai mati tidak akan menoktahkan kes memandu di bawah pe­ngaruh arak mahupun dadah.

“Hukuman dikenakan pada pesalah paling kurang 10 tahun. Masalahnya bukan daripada segi hukuman perkara itu berlaku, kita kena cari cara untuk mengelak ia daripada terus berlaku.

“Ramai pengedar dadah ditangkap dan menerima hukuman gantung tetapi jenayah itu masih juga berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, media melaporkan Amirul Hafiz maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kemalangan pada pukul 11.40 pagi itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu sebuah Honda City dan Perodua Myvi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda City iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, dipercayai memandu secara laju dan berbahaya dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Rakaman insiden berkenaan turut tular di media sosial.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff mencadangkan supaya satu peraturan baharu berkaitan tempoh larangan jualan alkohol dikenakan kepada premis-premis yang menjual minuman keras termasuk kedai serbaneka.

“Apabila kita membiarkan penjualan alkohol seperti sekarang iaitu boleh dibeli pada bila-bila masa maka kita tidak boleh menghalang orang untuk minum sambil membawa kereta melainkan kita membuang masa dan tenaga pihak polis untuk berada di setiap simpang di seluruh negara.

“Tetapi kalau kita ada lara­ngan penjualan alkohol seperti di kedai-kedai runcit dan serbaneka, ia hanya boleh dibeli sebagai contoh selepas pukul 9 malam maka dengan itu besar kemungkinan orang akan minum di rumah,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu melihat kejadian ini daripada sudut keselamatan orang ramai dan bukan aspek kebebasan meminum arak.

“Saya ada kebebasan untuk menghisap rokok tetapi banyak tempat saya tidak boleh merokok. Jadi kerajaan kena tegas dalam perkara ini, tiada orang menghalang daripada meminum arak tetapi apabila sambil membawa kenderaan, itu haram daripada aspek undang-undang.

“Itu yang hendak diawasi, macam mana hendak lakukan? Maka penjualan alkohol mesti dilarang pada tempoh tertentu seperti beberapa buah negara barat, Malaysia perlukan peraturan itu dan tidak sepatutnya biar 24 jam pembelian arak di merata tempat,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang tidak mempunyai ma­salah tetapi kejadian itu menunjukkan kelemahan kumpulan masyarakat dari­pada aspek disiplin.

Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin pula berkata, insiden tragis itu membuktikan pemandu mabuk merupakan ancaman serius kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Berapa ramai lagi perlu terkorban? Berapa banyak lagi keluarga perlu menangis? Pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol bukan sekadar melanggar undang-undang mereka adalah ancaman nyata kepada nyawa orang lain.

“Keadilan mesti ditegakkan. Anthony Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan) lakukan sesuatu!,” katanya semalam.

Menurutnya, kerajaan perlu memperkukuh pelaksanaan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A bagi memastikan hukuman terhadap pesalah pemandu mabuk lebih berat dan berkesan sebagai langkah pencegahan.

“Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus dihitamkan (blacklist) seumur hidup daripada memandu,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto menyarankan kerajaanmencontohi amalan negara maju termasuk penggunaan peranti pengunci alkohol (alcolock) dalam usaha membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, negara seperti Sweden, Perancis Itali, Austra­lia, Kanada dan Amerika Syarikat telah melaksanakan penggunaan alcolock khususnya terhadap pesalah berulang.

Katanya, peranti itu me­ngukur tahap alkohol melalui hembusan nafas sebelum kenderaan boleh dihidupkan.

Katanya, di Itali, pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan diwajibkan memasang alcolock pada kenderaan dengan kos sehingga 2,000 Euro (kira-kira RM9,238.20).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN