Jawatan Presiden Brazil kini milik Lula, Bolsonaro tersingkir

Jawatan Presiden Brazil kini milik Lula, Bolsonaro tersingkir

LUIZ Inacio Lula da Silva meraikan penyokongnya di laluan Paulista di Sao Paulo, Brazil selepas memenangi pilihan raya presiden kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Pemimpin parti pembangkang, Luiz Inácio Lula da Silva kembali menerajui pentadbiran Brazil selepas menewaskan penyandangnya dari sayap kanan, Jair Bolsonaro dalam pilihan raya presiden kelmarin.

Lapor BBC, kemenangan tersebut disifatkan sebagai kemunculan semula yang mengejutkan selepas beliau dilarang bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2018 kerana dipenjara akibat tuduhan rasuah.

Beliau sebelum ini didapati bersalah menerima rasuah daripada firma pembinaan Brazil sebagai balasan kontrak dengan syarikat minyak negara, Petrobras.

Selepas tempoh berkempen yang menyaksikan persaingan sengit dua calon dengan spektrum politik berbeza, Lula berjaya memenangi 50.9% undian.

Jumlah tersebut cukup untuk menewaskan Bolsonaro walaupun ramai penyokongnya yakin beliau bakal mengekalkan jawatan tersebut.

Lula menghabiskan 580 hari di penjara sebelum sabitannya dibatalkan dan dibenarkan kembali ke kancah politik.

“Mereka cuba menanam saya hidup-hidup tetapi saya masih di sini,” katanya ketika memulakan ucapan kemenangannya.

Tinjauan pendapat meramalkan dari awal beliau akan memenangi pilihan raya tersebut tetapi selepas melihat beliau berada di depan dengan jumlah yang terlalu tipis pada pusingan pertama, ramai rakyat Brazil mula meragui ramalan itu.

Walaupun berjaya memperoleh kemenangan, pemimpin berhaluan kiri itu dilihat bakal berdepan cabaran besar apabila ramai penyokong Bolsonaro melabel beliau sebagai ‘pencuri’ dan beranggapan pembatalan sabitannya tidak bermakna beliau tidak bersalah, sebaliknya prosedur undang-undang yang sebenar tidak dipatuhi.

Ahli parlimen parti pimpinan Bolsonoro turut memenangi majoriti dalam Kongres menyebabkan Lula mungkin menghadapi tentangan sengit terhadap dasar-dasarnya dalam badan perundangan.

Tetapi Lula, yang berkhidmat dua penggal antara Januari 2003 dan Disember 2010, tidak asing lagi dalam menjalin pakatan politik.

Sebagai pasangan naib presiden, beliau melantik bekas saingan, Geraldo Alckmin, yang pernah bertanding menentangnya dalam pilihan raya sebelum itu.

Strateginya mencipta tiket perpaduan membuahkan hasil dan berjaya menarik pengundi atas pagar untuk membuang undi dan memilih Parti Pekerja pimpinannya.

ATASI KEMISKINAN, KEBULURAN

Di tengah-tengah ucapannya beliau berjanji untuk menangani masalah kebuluran yang semakin meningkat di Brazil dan menjejaskan lebih 33 juta rakyatnya.

Kunci populariti Lula semasa dua penggal pertamanya memegang jawatan adalah mengeluarkan berjuta-juta rakyat Brazil daripada kemiskinan.

Tetapi dalam ekonomi pasca-pandemik usaha mendapatkan dana kewangan untuk mencipta semula pencapaian itu dilihat bukan tugas mudah terutamanya jika beliau dihalang oleh musuh politiknya dalam Kongres kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya