Ekonomi UK kedua terburuk 2023 - Utusan Malaysia

Ekonomi UK kedua terburuk 2023

OECD menjangkakan ekonomi UK akan menguncup sebanyak 0.4 peratus pada tahun depan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kadar pertumbuhan ekonomi United Kingdom (UK) dijangka menjadi kedua paling lemah dalam kalangan ekonomi besar dunia pada tahun depan.

Amaran itu dibuat oleh sebuah institusi antarabangsa terkemuka ketika ekonomi global terus mengalami kesan pindahan atau knock-on effect akibat krisis tenaga terbesar sejak empat dekad lalu.

Malah, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan Russia dalam kalangan negara anggota Kumpulan 20 (G20), akan mengalami penguncupan lebih besar berbanding Britain pada 2023.

Lapor The Guardian, OECD menerusi laporan tinjauan ekonomi separuh tahun meramalkan ekonomi UK akan berkembang sebanyak 4.4 peratus pada tahun ini yang merupakan kadar keenam terpantas dalam kalangan negara G20. 

Bagaimanapun, OECD menjangkakan ekonomi UK akan menguncup sebanyak 0.4 peratus pada tahun depan.

Jelas OECD, prestasi buruk itu diramalkan berterusan pada tahun 2024 dengan pengembangan sebanyak 0.2 peratus.   

Walaupun OECD sebelum ini pernah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan bagi kebanyakan negara sejak Jun lalu, namun penguncupan 5.6 peratus Russia diramalkan lebih teruk berbanding Britain.

Menurut pemangku Ketua Ekonomi OECD, Alvaro Santos Pereira, beliau menjangkakan penurunan kecil pada tahun depan berbanding penyusutan 1.4 peratus yang diramalkan oleh badan pemantau fiskal, Office for Budget Responsibility (OBR) pada minggu lalu.

Namun, beliau meramalkan pemulihan ekonomi lebih perlahan pada tahun 2024 berbanding jangkaan OBR. 

Tambah Pereira, OECD menjangkakan kadar faedah akan memuncak pada tahap lebih rendah berbanding ramalan OBR dan UK bakal berdepan kemelesetan ekonomi suku keempat berakhir pertengahan 2023.  

Sementara itu, Pereira berkata, ekonomi global sedang beransur pulih daripada krisis tenaga terbesar sejak 1970.

Katanya, krisis tenaga mendorong inflasi naik ‘ke paras yang tidak pernah dialami selama beberapa dekad’ dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

“Inflasi telah pun meningkat sebelum konflik meletus berpunca daripada gangguan dalam rantaian bekalan global selepas negara di seluruh dunia pulih daripada pandemik,” katanya. – AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya