Beratus penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Shanghai - Utusan Malaysia

Beratus penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Shanghai

SEORANG lelaki ditahan ketika orang ramai berkumpul di jalan di Shanghai kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Beratus-ratus penunjuk perasaan dan polis bertempur di Shanghai ketika bantahan terhadap sekatan ketat Covid-19 di China berterusan dan merebak ke beberapa bandar berikutan kebakaran maut di barat negara itu Khamis lalu.

Gelombang ketidakpatuhan sivil tidak pernah berlaku di tanah besar China sejak Presiden Xi Jinping mengambil alih kuasa sedekad lalu, namun kekecewaan memuncak terhadap dasar sifar Covid yang dilaksanakan hampir tiga tahun selepas pandemik bermula. 

Langkah berkenaan turut membebankan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

“Saya di sini kerana saya sayangkan negara saya, tetapi saya tidak sayang kerajaan saya. Saya mahu keluar dengan bebas, tetapi saya tidak boleh melakukannya. 

“Dasar Covid-19 kami adalah satu permainan dan bukannya berdasarkan sains atau realiti,” kata seorang penunjuk perasaan di hab kewangan bernama Shaun Xiao.

BBC turut melaporkan salah seorang wartawannya di China ditangkap dan dipukul oleh polis semasa membuat liputan bantahan terhadap dasar sifar-Covid negara itu di Shanghai.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan turut berhimpun di bandar Wuhan dan Chengdu sejak kelmarin, manakala pelajar di banyak kampus universiti di sekitar China berkumpul untuk berdemonstrasi pada hujung minggu.

Awal pagi semalam, dua kumpulan penunjuk perasaan sekitar 1,000 orang berkumpul di sepanjang Jalan Lingkaran ke-3 berhampiran Sungai Liangma di Beijing sepanjang malam dan enggan bersurai.

“Kami tidak mahu pelitup muka, kami mahu kebebasan. Kami tidak mahu ujian Covid, kami mahu kebebasan,” laung kumpulan tersebut sambil memegang kertas putih sebagai tanda simbolik menentang sekatan.

Kebakaran Khamis lalu di sebuah bangunan kediaman di bandar Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang, mencetuskan protes selepas video insiden itu yang disiarkan di media sosial membangkitkan tuduhan bahawa perintah berkurung adalah faktor utama kejadian yang mengorbankan 10 nyawa itu.

Pegawai Urumqi mengadakan sidang akhbar pada awal pagi Sabtu untuk menafikan langkah Covid-19 menghalang usaha melarikan diri dan menyelamat.

 Sejumlah besar daripada 4 juta penduduk Urumqi berdepan sekatan paling lama di negara itu dan dilarang meninggalkan rumah mereka selama hampir 100 hari.

“Kami hanya mahukan hak asasi manusia kami. Kami tidak boleh meninggalkan rumah kami tanpa melakukan ujian. Kemalangan di Xinjiang yang mendorong rakyat berdemonstrasi.

“Orang-orang di sini tidak ganas, tetapi polis menangkap mereka tanpa sebab. Mereka cuba menangkap saya tetapi orang di sekeliling saya memegang tangan saya dengan kuat dan menarik saya ke belakang supaya saya dapat melarikan diri,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 26 tahun di Shanghai.

Menjelang petang Ahad, ratusan orang berkumpul di kawasan itu sambil mengangkat helaian kertas putih sebagai ungkapan protes dan bergelut dengan polis yang cuba menyuraikan mereka. 

Di pusat bandar Wuhan, tempat wabak itu bermula tiga tahun lalu, video di media sosial menunjukkan beratus-ratus penduduk turun ke jalan, merempuh penghadang logam, memusnahkan khemah ujian Covid-19 dan menuntut perintah berkurung dihentikan.

Perkara sama turut berlaku di Lanzhou selepas penunjuk perasaan berkata mereka diletakkan di bawah perintah berkurung walaupun tiada sesiapa yang telah diuji positif.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.