BANGKOK: Tidak sanggup melihat anak remaja perempuannya bergelumang dalam dunia pelacuran, seorang wanita segera mendapatkan bantuan dari Kementerian Keselamatan Manusia dan Pembangunan Sosial serta polis.
Wanita yang dikenali sebagai Naruemon, 50, itu memaklumkan, anak gadisnya yang berusia 14 tahun melarikan diri dari rumah mereka di wilayah Isaan sejak 10 Oktober lalu.
Jelas wanita itu, anaknya yang dikenali Nadia merupakan hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki Britain sebelum ini.
“Saya mendapat tahu anak saya tinggal di rumah seorang lelaki kaya yang memiliki syarikat pembinaan di Udon Thani menerusi rakan-rakannya.
“Mereka juga memaklumkan anak saya menawarkan khidmat seks kepada lelaki kaya itu dengan bayaran 500 baht (RM62) untuk sekali perkhidmatan,” katanya.
Sehubungan itu, wanita tersebut merayu kepada pihak berkuasa supaya segera menyelamatkan anaknya daripadaterus bergelumang dalam dunia pelacuran.
Naruemon memaklumkan, dia juga banyak kali menghubungi anaknya dan berusaha mengadakan pertemuan, namun gadis itu sentiasa mempunyai cara untuk mengelak berjumpa ibunya.
“Saya tidak tahu mengapa dia bersikap begini. Sejak bapanya meninggal dunia, saya cuba memberikan keperluan yang mencukupi buatnya.
“Ketika ini, saya cuma mahu anak saya diselamatkan segera kerana usianya masih muda,” rintih wanita itu.