TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dan 21 lagi cedera selepas tentera Israel menyerbu beberapa kawasan di Tebing Barat.
Pada awal pagi semalam, sejumlah besar tentera Zionis menyerbu bandar Nablus dan disedari oleh pasukan keselamatan dan pergerakan Palestin.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lima rakyatnya terkorban akibat ditembak tentera Zionis dengan seorang daripadanya tidak mempunyai senjata.
Kemudian, kementerian itu melaporkan, seorang lagi belia Palestin turut terbunuh dan dikenal pasti sebagai Qusay al-Tamimi yang ditembak Zionis di perkampungan Nabi saleh berhampiran bandar Ramallah.
Dalam pada itu, tentera Israel memaklumkan, mereka hanya menjalankan operasi keselamatan di Nablus dan enggan memberi kenyataan berhubung tembakan yang dilepaskan terhadap rakyat Palestin.
Selain itu, jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh berkata, tindakan kekerasan itu perlu dihentikan segera atau semakin banyak nyawa tidak bersalah menjadi mangsa.
“Semua yang dilakukan tentera Zionis ini akan mencetuskan kesan dan akibat yang memusnahkan,” katanya.
Sumber tempatan melaporkan, penembak hendap tentera Israel ditempatkan di beberapa bumbung bangunan dan rumah yang merangkumi kawasan Nablus, selain menggunakan dron peluru berpandu.
Selain itu, Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan, tentera Israel turut melarang mereka memasuki kawasan kejiranan al-Qaryoun bagi merawat mangsa yang cedera.
Tentera Zionis juga dilaporkan mengebom kenderaan penduduk awam di kawasan ras al-Ain sehingga menyebabkan kematian penduduk setempat.










