MOSCOW: Presiden Vladimir Putin menjangkakan situasi akan kembali menjadi stabil di wilayah-wilayah Ukraine yang kini menjadi sebahagian daripada Russia.
Jangkaan itu dibuat selepas Moscow dikatakan mengalami ‘kehilangan’ ketenteraan yang besar dan kehilangan beberapa bandar utama kepada Kyiv.
Putin juga mengarahkan kerajaannya merampas kawalan loji tenaga nuklear terbesar Eropah di wilayah Zaporizhzhia ketika Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dalam perjalanan ke Kyiv untuk rundingan mengenai fasiliti terbabit.
“Kami mengandaikan situasi di wilayah baharu itu akan stabil,” katanya kepada guru Russia menerusi panggilan video yang disiarkan di televisyen.
Beberapa jam sebelum itu, Gabenor Sergiy Gaiday mengumumkan `penamatan penjajahan’ wilayah Luhansk yang sudah pun bermula secara rasmi.
Terdahulu, Ukraine mendakwa pasukan tenteranya berjaya menyingkirkan askar Russia di wilayah Luhansk ketika Kremlin berjanji untuk merampas semula kawasan yang hilang dalam serangan balas tentera Kyiv.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasukan Ukraine dibekalkan dengan senjata Barat, berjaya menyingkirkan tentera Russia dari beberapa bandar dan kampung di wilayah selatan Kherson dan kubu kuat pemisah timur Luhansk dan Donetsk.
Sementara itu, seorang ahli Parlimen kanan Russia menggesa pihak berkuasa tampil mendedahkan perkembangan sebenar di lapangan di Ukraine berikutan rentetan kekalahan teruk dihadapi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan di Parlimen, Andrei Kartapolov, pihak berkaitan perlu menjelaskan situasi sebenar tanpa berbohong untuk apa tujuan sekalipun.
“Kita perlu berhenti berbohong. Laporan kementerian pertahanan tidak boleh diubah.
“Rakyat tahu dan sedar, orang kita bukan bodoh. Perkara ini boleh menyebabkan kehilangan kredibiliti,” katanya kepada media kerajaan. – AFP