LONDON: Politik Britain makin bergolak selepas Perdana Menteri, Liz Truss bertindak memecat menteri kewangannya, Kwasi Kwarteng, semalam.
Pemecatan itu dibuat sejurus sebelum membatalkan sebahagian rancangan pakej ekonomi mereka dalam usaha mengharungi pasaran dan kemelut politik yang mencengkam negara itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan bekas menteri luar, Jeremy Hunt dilantik sebagai Menteri Kewangan Britain yang baharu.
Dalam pada itu, Kwarteng berkata, beliau meletak jawatan atas permintaan Truss selepas bergegas pulang ke London semalaman dari mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington.
“Anda meminta saya untuk tidak menjadi canselor anda lagi, jadi, saya mematuhi arahan anda,” jelas surat peletakan jawatan kepada Truss yang disiarkan oleh Kwarteng di Twitter.
Dengan pemecatan itu, Kwarteng menjadi canselor perbendaharaan paling singkat dalam sejarah politik Britain.
Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Edward Argar akan menggantikan Chris Philip sebagai ketua setiausaha kepada Perbendaharaan, tugas kedua paling penting dalam jabatan itu.
Pergolakan ekonomi berlaku selepas pentadbiran Truss memperkenalkan rancangan pemotongan cukai pada 23 September lalu, yang bakal dibiayai menerusi lebih banyak pinjaman bernilai berbilion, dilihat berakhir sejak Bank of England (BoE) campur tangan dalam pasaran bon.
Namun, bank pusat itu dijangka mengakhiri aktiviti pembelian bon, dan penganalisis pasaran berpandangan hanya tindakan drastik susulan pengumuman belanjawan oleh Kwarteng, yang dapat mengelakkan panik dalam pasaran.
Truss melakukan pusingan U apabila mengumumkan akan mengekalkan rancangan kerajaan terdahulu untuk menaikkan cukai keuntungan terhadap syarikat, selepas mengubah keputusan mengenai pemotongan cukai pendapatan untuk kumpulan berpendapatan tertinggi. – REUTERS/AFP