PEMILIHAN Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu membuka mata banyak pihak mengenai ‘tidak semestinya individu daripada kaum, agama dan bangsa tertentu’ sahaja yang layak mentadbir sesebuah negara.
Sunak merupakan pemimpin pertama Britain yang berketurunan India sedangkan umum mengetahui United Kingdom (UK) merupakan negara yang berpegang teguh kepada ‘nilai-nilai Inggeris’ yang disifatkan ‘tiada tolok bandingannya’ dengan negara lain.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kini tiba giliran Britain pula ‘dijajah’ India sedangkan negara Inggeris itu dahulunya gah meluaskan empayar di bumi India.
Pemilihan Sunak juga secara tidak langsung menunjukkan Parti Konservatif bersikap terbuka dalam agenda politiknya dan tidak mahu terkongkong dengan politik konvensional yang disifatkan tidak lagi relevan ketika ini.
Biarpun sikap perkauman masih wujud di seluruh dunia ketika ini, namun percaya atau tidak, sentimen itu semakin luntur, selaras dengan peredaran zaman yang makin terbuka dalam pelbagai aspek.
Perkara itu juga memberi kesan dalam politik dunia, bukan sahaja di Britain, malah di beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).
Di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, Kamala Harris diangkat sebagai naib presiden wanita pertama.
Beliau bukan sahaja wanita Afrika-Amerika tetapi Asia-Amerika pertama yang dilantik jawatan kedua tertinggi tersebut.
Harris dilahirkan di Oakland, California dan ibu bapanya juga pendatang.
Ibunya Shyamala Gopalan berasal dari India, manakala bapanya, Donald J. Harris dari Jamaica.
Beliau dibesarkan dengan budaya masyarakat India, namun masih menitikberatkan budaya Afrika-Amerika ketika membesar di Oakland.
Selain menjawat jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara, barisan Kabinet di Britain dan Kongres di AS juga disertai beberapa ahli politik yang bukan berketurunan kulit putih.
Di Britain, barisan Kabinet disertai ahli politik yang berasal dari Pakistan, iaitu Datuk Bandar London, Sadiq Khan dan Menteri Kesihatan, Sajid Javid.
Di AS pula, Kongres tidak lagi hanya menampilkan ahli politik berkulit putih dan beragama Kristian.
Menerusi pentadbiran Biden, Kongres kini ‘dimeriahkan’ dengan ahli politik daripada pelbagai etnik, termasuk yang beragama Islam.