PROBOLINGGO: Sepasang pengantin mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasangan suami isteri pertama yang berpeluang menikmati bulan madu di Kediaman Rasmi Datuk Bandar Probolinggo, pada minggu lalu.
Hairul Yakin, 24, dan isterinya, Khusnul Khotimah, 23, dinikahkan di Pejabat Agama Wonoasih sebelum menginap di kediaman tersebut.
Selain itu, pasangan pengantin baharu tersebut juga diberi peluang menaiki kenderaan rasmi datuk bandar dari pejabat agama ke kediaman berkenaan.
Hairul yang bekerja sebagai pengetua sebuah sekolah swasta memberitahu, peluang bulan madu di kediaman itu merupakan hadiah paling istimewa buat dia dan isterinya.
“Kami amat bersyukur dengan peluang yang diberikan. Kami juga berbangga apabila menjadi pasangan pengantin pertama yang diberi peluang berbulan madu di kediaman rasmi datuk bandar.
“Semuanya disediakan dengan baik sekali, bilik tidur yang kemas dan bersih, selain turut dilengkapi kemudahan yang lengkap,” katanya kepada Kompas.com.
Pasangan itu diberi peluang menginap di rumah tersebut selama sehari dan boleh menggunakan semua kemudahan yang disediakan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Probolinggo, Hadi Zainal Abidin memaklumkan, kemudahan penginapan di kediaman rasmi itu hanya untuk penduduk di bandar ini.
Katanya, program itu diadakan bagi memberi peluang kepada para pengantin mempunyai kenangan yang manis ketika majlis perkahwinan mereka.
“Kita mendoakan semua pasangan pengantin supaya hidup bahagia sehingga akhir hayat mereka,” ujarnya.