Lubang mendapan gergasi ditemukan di Turki - Utusan Malaysia

Lubang mendapan gergasi ditemukan di Turki

GAMBAR menunjukkan lubang mendapan terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya. - AGENSI ANADOLU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Sebanyak 16 lubang mendapan gergasi lagi ditemukan di sebuah wilayah di Turki dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas kemarau mengakibatkan runtuhan kuari batu kapur.

Lapor Daily Mail, beberapa gambar menunjukkan lubang besar terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pakar Universiti Teknikal Konya (KTUN), Fetullah Arık berkata, ketika ini terdapat lebih 2,600 lubang mendapan di Dataran Konya.

Beliau juga memberi amaran mengenai penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. 

“Meskipun dilanda salji lebat tahun lalu namun tiada peningkatan besar dalam air bawah tanah.

“Struktur tanah boleh larut apabila ia terkena air dan meliputi kawasan luas di seluruh lembangan,” katanya kepada Hurriyet Daily News.      

Tambah Arik, lubang mendapan akan tetap muncul walaupun tiada gangguan berlaku.

Bilangan lubang mendapan semakin meningkat hampir setiap hari di daerah Cihanbeyli, Yunak, Kulu, Sarayönü dan Kadınhanı.

Ia diperiksa oleh pakar dari Jabatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan KTUN.

Berdasarkan kajian, lubang mendapan kini ditemukan di tempat-tempat lain seperti kawasan perumahan, pertanian dan perindustrian yang mencetuskan lebih banyak risiko.

Lubang mendapan merupakan lekukan dalam tanah yang tidak mempunyai saliran permukaan luaran semula jadi dan berlaku pada bentuk muka bumi karst.

Punca kewujudan lubang mendapan di wilayah Turki itu tidak dapat dipastikan namun ia dikatakan disebabkan kemarau berpanjangan yang mendorong petani menggunakan air bawah tanah sebagai sumber tanaman.

Tindakan itu difahamkan menimbulkan rekahan lubang-lubang kecil dan akhirnya menjadi semakin serius.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya