PARIS: Seorang lelaki warga Britain nyaris maut selepas cuba mendaki gunung Mont Blanc dengan hanya memakai seluar trek.
Lapor Daily Mail, Feda Hussein, 26, dari Portsmouth berjaya diselamatkan selepas ditemukan dalam keadaan lemah ketika mendaki gunung pada hari jadinya.
Jurutera aeroangkasa itu mengakui tindakannya merupakan langkah yang kurang baik meskipun dia sudah membuat persiapan dengan baik sekali.
Pasukan penyelamat alpine menemukan Feda pada ketinggian 3,099.81 meter, dengan keadaan suhu badannya mencecah 25 darjah celsius.
Feda bermalam dalam keadaan suhu beku di bahagian puncak Itali yang melintasi sempadan Perancis.
Menurut pegawai, Feda ditemukan hanya memakai pakaian trek dan but mendaki.
Katanya, khemah yang digunakan oleh lelaki itu juga diperbuat daripada kain terpal yang ringkas, menyebabkannya tidak boleh digunakan dalam keadaan sejuk beku melampau.
Sementara itu, Feda menafikan dakwaan bahawa dia kurang melakukan persiapan ketika mendaki gunung Mont Blanc.
“Saya tersesat dan cuaca berubah sehingga ia memburukkan keadaan saya. Saya mempunyai peralatan yang betul termasuk membawa tali bersama.
“Cuma apabila pasukan penyelamat menemui saya, semua peralatan itu dilitupi dengan salji,” katanya.