DALLAS: Dua petugas di sebuah hospital di sini terbunuh dalam satu insiden tembakan yang berlaku di dalam premis tersebut.
Menurut pihak berkuasa, suspek merupakan seorang lelaki bersenjata dan disahkan cedera selepas ditembak oleh anggota polis.
Jurucakap hospital, Ryan Owens berkata, tembakan itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan) di dalam Methodist Health System.
“Seorang pegawai polis Methodist Health System tiba di tempat kejadian, berdepan dengan suspek dan melepaskan tembakan ke arahnya menyebabkan suspek tercedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Nama kedua-dua mangsa dan jawatan mereka di hospital itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Hospital itu dalam satu kenyataan turut memaklumkan sedang berkabung susulan kematian pekerjanya.
“Keluarga Methodist Health System berasa sedih atas kehilangan dua ahli pasukan yang kami sayangi.
“Seluruh organisasi sedang bersedih dengan tragedi yang tidak dapat dibayangkan ini,” katanya.
Menurut Owens, suspek berkenaan yang namanya tidak didedahkan telah dibawa ke hospital lain dan di bawah pengawasan polis.
Sebelum ini, insiden tembakan di hospital pernah berlaku pada bulan lalu di Little Rock, Arkansas, yang mengorbankan seorang pengunjung, manakala Jun lalu di Tulsa, Oklahoma seramai empat individu terkorban. – AP










