Berakhirnya ‘drama’ Liz Truss dalam politik Britain   - Utusan Malaysia

Berakhirnya ‘drama’ Liz Truss dalam politik Britain  

LIZ Truss bercakap pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen di London. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kepemimpinan Liz Truss akhirnya menutup tirai selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Britain, iaitu 44 hari selepas menjawat jawatan tersebut.

Kemuncak pentadbiran Truss berakhir selepas beliau memecat seorang lagi menteri kanan, iaitu Menteri Dalam Negeri, Suella Braverman selepas kedua-dua pemimpin itu `bertikam lidah’ selama 90 minit di Dewan Rakyat.

Situasi tegang itu juga menyaksikan Ketua dan Timbalan Ketua Whip bertindak meletakkan jawatan.

Braverman melemparkan kritikan terhadap Truss dengan menuduh pemimpin itu memungkiri janji penting dalam manifesto mengenai isu pengurangan penghijrahan.    

Ketua Whip, Wendy Morton dan Timbalannya, Craig Whittaker dilaporkan meletak jawatan sebagai protes atas perubahan mendadak dalam taktik kerajaan berhubung undian, yang akhirnya dimenangi Truss.

Di tengah-tengah adegan tegang di Dewan Rakyat, Timbalan Perdana Menteri Britain, Therese Coffey dan Setiausaha Ekonomi, Jacob Rees-Mogg didakwa `menyerang’ beberapa ahli Parlimen ketika lobi pengundian. 

Bagaimanapun, kedua-dua menteri itu menafikan dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, seorang sekutu Kabinet perdana menteri itu menyifatkan agak mustahil bagi Truss untuk memulihkan kuasanya.

“Saya rasa seperti semuanya sudah berakhir bagi beliau,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Britain memaklumkan Braverman meletak jawatan selepas menggunakan e-mel peribadinya untuk menghantar dokumen rasmi kepada ahli Parlimen Tory.

Jelasnya, tindakan itu susulan berlaku ‘pelanggaran’ dalam peraturan kerajaan.

Bagaimanapun, sumber mendakwa Braverman dipecat disebabkan pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu yang mana bekas menteri itu menyifatkan langkah Truss untuk melonggarkan peraturan imigresen bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, adalah tidak munasabah. 

 PELANTIKAN GRANT SHAPPS  

Sementara itu, Truss dilaporkan melantik pegawai kanan parti Konservatif, Grant Shapps bagi menggantikan Braverman.

Shapps dipecat sebagai Menteri Pengangkutan apabila Truss menggantikan Boris Johnson pada 6 September lalu. 

Pelantikan Shapps menjadi kejutan kerana beliau adalah antara penyokong tegar Rishi Sunak, yang menjadi saingan Trus bagi jawatan Perdana Menteri Britain.

Truss terus dikritik secara meluas apabila enggan melepaskan jawatannya sebelum ini, selepas memaksa Kwasi Kwarteng bertanggungjawab atas kegagalan belanjawan pada 23 September lalu, yang menyebabkan pasaran jatuh teruk.

Beberapa jam sebelum meletak jawatan, Truss berikrar tidak akan berhenti kerana beliau adalah pejuang, ketika berdepan ahli Parlimen yang mencemuhnya sepanjang sesi Parlimen pertamanya.

Sesi itu berlangsung kurang daripada 48 jam selepas Jeremy Hunt selaku Menteri Kewangan baharu, menolak rancangan cukai Truss dalam usaha memulihkan keyakinan pasaran. – AGENSI/AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya