Imran Khan tak layak bertanding kerana tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Imran Khan tak layak bertanding kerana tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hilang kelayakan daripada bertanding jawatan politik selama lima tahun.

Keputusan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) memutuskan beliau mengelirukan pegawai mengenai hadiah yang diterima daripada pemimpin negara asing ketika berkuasa.

Lapor The Guardian, peguam Gohar Khan berkata, ECP mengisytiharkan Imran terbabit dalam amalan rasuah.

“Imran kini hilang kelayakan bertanding selama lima tahun.

“Justeru, kami akan mencabar keputusan itu di mahkamah tinggi Islamabad,” katanya.

Kes itu dilihat sebagai satu lagi perubahan dalam perbalahan politik yang bermula sebelum Khan disingkirkan pada April lalu, dan antara beberapa isu diperjuangkan oleh bekas bintang kriket antarabangsa itu dan partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).  

Mahkamah Pakistan sering digunakan untuk mengikat ahli politik dalam prosiding berpanjangan yang dikritik oleh pemantau hak asasi kerana menyekat pembangkang politik.

Namun, penglibatan suruhanjaya itu dalam kes ini berpunca daripada kewajipan pegawai yang dipilih untuk mengisytiharkan semua aset mereka.

Kes itu tertumpu pada sebuah jabatan kerajaan dikenali sebagai ‘Toshakhana’, yang mana ketika era Mughal ia merujuk kepada ‘rumah harta karun’ untuk menyimpan dan mempamerkan hadiah yang dilimpahkan kepada mereka.

Pegawai kerajaan diwajibkan mengisytiharkan semua hadiah, namun turut dibenarkan menyimpannya di bawah nilai tertentu.

Barangan yang lebih mahal harus diserahkan kepada Toshakhana, tetapi dalam beberapa kes penerima boleh membelinya semula pada kira-kira 50 peratus daripada nilainya.

Sejak beberapa bulan lalu, media tempatan menyiarkan berita mendakwa Imran dan isterinya menerima hadiah mewah bernilai jutaan dolar semasa lawatan ke luar negara dan gagal mengisytiharkannya. 

Hadiah mewah itu termasuk jam tangan, barang kemas, beg tangan berjenama dan minyak wangi.

Imran dituduh gagal mengisytiharkan beberapa hadiah atau keuntungan diperoleh daripada menjualnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya