Enjin pesawat Lion Air terbakar ketika penerbangan - Utusan Malaysia

Enjin pesawat Lion Air terbakar ketika penerbangan

PESAWAT Lion Air tersebut berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta berikutan satu daripada enjinnya terbakar. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pesawat Lion Air penerbangan JT-330 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Badaruddin II di Palembang terpaksa berpatah balik akibat masalah pada bahagian enjin.

Insiden itu menyaksikan satu daripada enjin pesawat berkenaan terbakar, menyebabkan kapten penerbangan memutuskan untuk berpatah balik ke Soekarno-Hatta.

Jurucakap polis, Endra zulpan mengesahkan insiden berkenaan.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan.

“Pesawat berlepas pukul 5.13 petang, namun tidak lama kemudian, satu daripada enjinnya terbakar menyebabkan ia berpatah balik ke Soekarno-Hatta.

“Pesawat itu selamat mendarat dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang mahupun kru penerbangan,” katanya.

Selepas mendarat, kesemua penumpang pesawat berkenaan dipindahkan ke pesawat Lion Air yang lain bagi meneruskan penerbangan ke Palembang.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Lion Air memaklumkan pesawat JT-330 itu sudah menjalani pemeriksaan sebelum kebenaran terbang dikeluarkan.

Jurucakap Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata, sebelum penerbangan ke Palembang, pesawat Boeing 737-800NG itu layak terbang menerusi pemeriksaan yang dilakukan.

“Kami memohon maaf terhadap insiden yang berlaku. Ingin dijelaskan keadaan pesawat dalam keadaan baik sebelum terbang dan juruterbang juga mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ketika mencecah ketinggian 3,000 kaki, juruterbang mengesan satu daripada enjin pesawat tidak berfungsi sepenuhnya, menyebabkan keputusan dibuat untuk berpatah balik ke Soekarno-Hatta,” ujarnya.

Pesawat JT-330 membawa seramai 169 penumpang dan enam kru penerbangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN