Zionis tidak akan berhenti bina penempatan haram di Palestin - Utusan Malaysia

Zionis tidak akan berhenti bina penempatan haram di Palestin

RUMAH Mahmoud Salhiyeh menyembah bumi selepas dirobohkan Zionis di Sheikh Jarrah, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Israel berterusan mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016 untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti penempatan di tanah Palestin yang didudukinya, malah rejim Zionis menggerakkan perancangan untuk membina hampir 2,000 lagi unit kediaman dalam tempoh tiga bulan lalu.

Perwakilan PBB Asia Barat, Tor Wennesland ketika menekankan perkara berkenaan memberitahu majlis itu bahawa Israel tidak menunjukkan sebarang perkembangan untuk berhenti merobohkan rumah rakyat Palestin .

Beliau bagaimanapun menyebut beberapa langkah positif yang diambil sepanjang tempoh tiga bulan itu hingga 20 September lalu, termasuk dua kontak antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dengan pegawai atasan Israel pada Julai.

Selain itu, Israel mengeluarkan kira-kira 16,000 permit untuk pekerja dan perniagaan warga Palestin di Gaza, serta peningkatan 1.5 peratus import dan 54 peratus eksport melalui lintasan utama Kerem Shalom dari Israel ke Gaza berbanding purata bulanan, bagi dua suku pertama 2022.

Wennesland memberi amaran, ketiadaan proses damai yang bermakna untuk menamatkan pendudukan Israel dan menyelesaikan konflik itu, memburukkan lagi ketegangan di seluruh Palestin, terutama di Tebing Barat, selain mendorong persepsi bahawa konflik berkenaan tidak boleh diselesaikan.

Justeru, katanya, Israel dan Palestin kini mesti menentukan bagaimana mereka membayangkan masa depan berkait kemelut itu.

“Perkembangan ketika ini membawa kita ke arah keganasan dan konflik yang berterusan. Inisiatif bermakna diperlukan segera untuk mengubah keadaan itu,” katanya.

Resolusi berkenaan diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB apabila AS dalam minggu-minggu terakhir pentadbiran Presiden Barack Obama ketika itu, berkecuali daripada menggunakan kuasa vetonya untuk menyokong Israel yang juga sekutu lama Washington sebagaimana lazim dilakukan sebelum itu. Begitupun, AS ketika bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menentang keras resolusi terbabit.

Duta AS, Linda Thomas-Greenfield semalam memberitahu, pentadbiran Presiden Joe Biden ketika ini menyokong penyelesaian dua negara, sekali gus menggesa kedua-dua pihak Israel dan Palestin bertindak bagi mencatat kemajuan sebenar dalam menangani isu berkenaan.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour ketika bercakap kepada pemberita selepas itu pula meminta PBB untuk memulakan pelaksanaan resolusinya. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya