SEOUL: Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan selepas Taufan Hinnamnor mula membadai wilayah selatan Korea Selatan.
Malah, ribut paling kuat melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun turut menyebabkan hujan lebat dan angin kencang sehingga memusnahkan jalan raya serta bekalan elektrik terputus.
Lapor Al Jazeera, menurut pihak berkuasa, Taufan Hinnamnor kini bergerak ke timur laut ke arah laut terbuka selepas melanda pulau peranginan Jeju dan pelabuhan tanah besar Busan pada awal pagi tadi.
Jelasnya, hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sepanjang hari.
Ribut itu susulan Seoul dilanda hujan lebat terburuk pada Ogos lalu sehingga menyebabkan banjir kilat meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa.
Perdana Menteri, Han Duk-soo mengarahkan operasi pemindahan penduduk dilaksanakan segera di kawasan berisiko banjir, dengan menyifatkan Hinnamnor mungkin menjadi ‘taufan paling kuat dalam sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.
Sejak Ahad lalu, lebih 94 sentimeter hujan direkodkan di bahagian tengah Jeju, yang mana angin mencapai kelajuan maksimum 155 kilometer sejam (km/j).
Kira-kira 20,000 rumah di wilayah selatan terputus bekalan elektrik berikutan angin kencang merosakkan kabel elektrik.
Setakat pagi tadi, lebih 3,463 penduduk sudah dipindahkan dan pihak berkuasa mengarahkan seramai 14,000 orang lagi meninggalkan rumah mereka.
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan seorang lelaki berusia 25 tahun dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam air sungai mengalir deras disebabkan hujan lebat di bandar Ulsan.