fbpx

Rusuhan antara penunjuk perasaan, polis di Iran ragut 31 nyawa

TEHERAN: Pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Iran yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyaksikan angka korban melibatkan orang awam meningkat kepada 31 orang.

Protes yang bermula susulan insiden seorang wanita maut selepas ditahan polis moral di sini kerana tidak ‘memakai tudung secara sempurna’ dilaporkan semakin kritikal apabila penunjuk perasaan enggan mengalah dengan pihak berkuasa biarpun terpaksa merusuh.

Wanita itu yang dikenali sebagai Mahsa Amini, 22, ditahan polis moral sehari sebelum dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

Pakar perubatan memaklumkan kepada keluarga Mahsa bahawa wanita itu meninggal dunia kerana serangan jantung, namun keluarganya tidak percaya kerana memberitahu anak mereka dalam keadan sihat ketika ditahan.

Dalam pada itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi, menegaskan kes kematian Mahsa ketika wanita itu berada dalam tahanan polis moral sehingga mencetuskan rusuhan di negara itu, mesti disiasat secara teliti.

Katanya, pihak berkuasa negara ini akan mengambil tindakan sewajarnya dalam siasatan kes tersebut.

“Ia semestinya perlu disiasat. Saya telah menghubungi keluarganya dengan segera dan memberi jaminan kepada mereka bahawa kami akan terus menyiasat kejadian itu dengan teliti. Keutamaan kami ialah menjaga hak setiap rakyat,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa Iran sehingga kini menafikan pasukan keselamatan menembak mati penunjuk perasaan yang disifatkan ‘berbahaya dan tidak terkawal. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN