KYIV: Kremlin kelmarin memaklumkan tiada keputusan dibuat sama ada untuk menutup pintu sempadan Russia atau tidak berikutan semakin ramai rakyat negara itu melarikan diri ke negara jiran kerana tidak mahu menyertai program kerahan tenaga ke Ukraine.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, beliau tidak boleh mengesahkan sama ada sempadan akan ditutup atau tidak dan sehingga kini, tiada sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang menyatakan Russia berkemungkinan menutup pintu sempadan bagi mengelakkan rakyatnya melarikan diri sejak Presiden Vladimir Putin mengumumkan program kerahan tenaga ke Ukraine bagi membantu pasukan tenteranya.
Sehingga kini, tempahan tiket penerbangan sudah habis dijual dan ribuan kereta memenuhi pos pemeriksaan sempadan, sehingga menyebabkan kenderaan beratur selama lebih 48 jam untuk masuk ke Georgia.
Seorang pegawai kerajaan Russia, Sergei Tsekov berkata, semua golongan lelaki yang layak menyertai program kerahan tenaga itu perlu dihalang daripada meninggalkan negara.
Dalam pada itu, beberapa portal berita juga melaporkan pihak berkuasa Russia merancang untuk melarang golongan lelaki meninggalkan negara itu, namun sumber tersebut tidak dapat disahkan.
Selain itu, Kremlin turut menolak dakwaan beberapa laporan yang memaklumkan golongan warga emas turut dipaksa menyertai program kerahan tersebut.