'Kami hendak beli mi segera pun susah'

‘Kami hendak beli mi segera pun susah’

SEORANG pelanggan melihat bungkusan mi segera yang mengalami kenaikan harga akibat inflasi di Bangkok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Di sebalik kemasukan pelancong asing yang begitu meriah di Thailand, rakyatnya sendiri berdepan kesulitan hidup seperti tiada pekerjaan sehingga terpaksa bergantung harap kepada makanan percuma yang disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Krisis inflasi yang melanda global bukan sahaja menjejaskan industri pelancongan bahkan turut menyebabkan kenaikan harga barang.

Situasi lebih membebankan pengguna selepas kerajaan menaikkan harga mi segera buat pertama kali selepas lebih sedekad tiada perubahan harga makanan itu.

Seorang penganggur, Somchai berkata, dia mampu membeli makanan sendiri beberapa tahun lalu, namun situasi mula berubah selepas harga makin mahal.

“Saya tidak mampu tanggung kenaikan harga makanan dan terpaksa mencari sumbangan NGO,” katanya.

Veerayuth Sae-ung, 34, berkata, rutin makan hariannya juga sudah banyak berubah.

Katanya, kalau dahulu dia akan beratur membeli mi sebagai makanan tengah hari di Bangkok, namun, kini situasinya sudah berubah.

“Sejak kebelakangan ini, saya tidak mampu lagi membeli makanan di gerai setiap hari,” luahnya.

NGO BANTU

Sementara itu, pengasas bersama Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok, Greg Lange berkata, pihaknya yang mengedarkan 500 pek makanan setiap hari akan berusaha membantu lebih ramai rakyat Thailand.

Kongsinya, ramai golongan dewasa yang dibantu terputus hubungan dengan ahli keluarga sendiri serta tidak mampu meneruskan hidup dengan bantuan 600 ke 1,000 baht (RM72-RM121) setiap bulan.

“Walaupun dalam keadaan hujan, orang ramai sanggup beratur sampai dua ke tiga barisan.

“Jadi, ia adalah situasi yang sukar dengan kenaikan harga yang menyulitkan orang ramai,” katanya.

Pensyarah Sekolah Perniagaan di Universiti Antarabangsa Thammasat, Prof. Pavida Pananond berkata, kerajaan perlu merangka dasar yang lebih tersasar bagi membantu mengurangkan kesukaran akibat peningkatan kos sara hidup dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di Thailand.

Beliau juga memberi amaran kenaikan harga mi segera akan menjadi menjadi punca kenaikan bahan makanan selanjutnya.

“Bagi golongan berpendapatan rendah yang majoriti pendapatannya dibelanjakan untuk makanan atau tenaga, mereka akan lebih terkesan dengan perkara ini,” jelasnya.

CABARAN PRU

Kenaikan inflasi sejak kali terakhir 14 tahun lalu, sudah tentu memeningkan kepala pihak kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang berkuasa sejak lapan tahun lalu berjanji untuk memberikan kestabilan selepas protes berlarutan yang menjejaskan ekonomi kerajaan.

PRU mesti diadakan sebelum Mac tahun depan sekali gus memberi cabaran kepada kerajaan gabungan yang diketuai oleh Parti Palang Pracharat (PPRP) yang mesra tentera memulihkan keadaan.

Bagi meringankan penderitaan rakyat, kerajaan meluluskan cadangan kenaikan gaji minimum harian antara 328 hingga 354 baht (RM39-RM42).

Sebelum ini, kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh pelepasan cukai bahan api.

Namun begitu, penganalisis politik, Napisa Waitoolkiat di Universiti Naresuan berpandangan, langkah yang diambil itu hanya untuk ‘memenangi undi’ rakyat.

“Kerosakan sudah tidak dapat dibaiki dan kemungkinan ia tidak mengubah pendirian ramai pengundi.

“Krisis ekonomi akan menjadi faktor utama dalam pilihan raya kerana pengundi tidak akan melupakan ikrar parti PPRP untuk memulihkan ekonomi sebelum ini.

“Selepas mereka berkuasa, mereka akhirnya tidak dapat menunaikan janji,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya