Arab Saudi kini tumpuan dunia  - Utusan Malaysia

Arab Saudi kini tumpuan dunia 

GAMBAR ilustrasi projek bandar futuristik, NEOM yang akan dibangunkan di wilayah Tabuk Arab Saudi. - NEOM.COM  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi berusaha ke arah menjadi tapak projek pembinaan terbesar dunia, dengan mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak AS$1.1 trilion (RM4.95 trilion) dalam projek infrastruktur dan hartanah.

Usaha itu selari dengan pelancaran Wawasan 2030 Arab Saudi pada 2016.

Perunding hartanah global, Knight Frank menjangkakan penduduk Riyadh akan mencecah 17 juta orang menjelang 2030, meningkat daripada kira-kira 7.5 juta orang pada ketika ini.  

Bandar itu juga pernah melancarkan beberapa projek hartanah bernilai AS$104 bilion (RM468 bilion) sejak Pelan Transformasi Nasional Kerajaan Arab Saudi diperkenalkan pada 2016.

Ketua penyelidikan Knight Frank Asia Barat, Faisal Durani berkata, Wawasan 2030 menyemarakkan lagi keterujaan di seluruh negara.

‘Malah, dengan NEOM menjadi projek utama dalam pelan transformasi itu, ramai tidak sabar untuk menjadi sebahagian sejarah,” katanya.

Menurut Faisal, Arab Saudi mampu menjadi tapak projek pembinaan terbesar dalam sejarah dengan mudah.

“Ia boleh dicapai dengan rancangan projek pembinaan di Arab Saudi yang merangkumi lebih 555,000 unit kediaman, lebih 275,000 hotel, lebih 4.3 juta meter persegi ruang premis dan lebih 6.1 juta meter persegi ruang pejabat,” katanya.

Antara enam projek terbesar di negara ini adalah:-

* NEOM yang merupakan projek pembinaan mega bernilai AS$500 bilion (RM2.25 trilion) yang meliputi 25,900 kilometer persegi wilayah Tabuk Arab Saudi, berhampiran sempadannya dengan Jordan dan Mesir.    

* King Salman Park merupakan projek taman bandar terbesar dunia yang bernilai AS$ 17 bilion (RM76.5 bilion) dan dijangka siap pada 2027.

* Diriyah Gate iaitu projek bernilai AS$20 bilion (RM90 bilion) merupakan salah satu pembinaan paling penting di Arab Saudi.

* The Red Sea merupakan salah satu projek mega bernilai AS$16 bilion (RM72 bilion) yang dibangunkan untuk merancakkan sektor pelancongan.

* Jeddah Economic City adalah projek mega yang bernilai AS$30 bilion (RM135 bilion).

* Jeddah Central merupakan projek mega yang bernilai AS$20 bilion (RM90 bilion) dan dijangka siap pada tahun 2030.

Dalam pada itu, ketua hartanah di Strategy & Consulting, Harmen de Jong berkata, firma perundingannya sedang memantau 15 projek giga di Arab Saudi yang sebahagian besarnya merupakan bandar raya besar.  

Menurut Jong, bandar futuristik NEOM dijangka menempatkan sembilan juta penduduk di 300,000 kediaman baharu sebaik projek itu siap, sekali gus menjadikannya projek giga terbesar yang didedahkan setakat ini.

Sementara itu, Durani menyifatkan projek NEOM sebagai mentakrifkan semula kehidupan bandar di kawasan yang memiliki sumber terhad.

Katanya, pada masa sama, projek bandar kecil seperti Octagon, Trojena dan Line akan menetapkan penanda aras baharu kehidupan mewah di kawasan tersebut.

“Kira-kira 30 peratus penduduk Arab Saudi bersedia membelanjakan lebih AS$800,000 (RM3.6 juta) untuk memiliki kediaman kedua di NEOM.

“Justeru, pemaju terpaksa berusaha keras untuk memenuhi permintaan golongan itu,” katanya.

Sebuah lagi projek giga yang menarik perhatian adalah Diriyah Gate yang akan menawarkan kira-kira 20,000 unit rumah di Riyadh apabila siap pada 2027.

Knight Frank menganggarkan kira-kira AS$2.3 bilion (RM10.35 bilion) sudah dibelanjakan bagi pembinaan Diriyah Gate. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya