DAMASCUS: Sejumlah 17 lagi mayat ditemukan selepas sebuah bot yang membawa pendatang dari Lubnan karam di perairan Syria.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban meningkat kepada 94 orang, lapor televisyen kerajaan Syria yang menyifatkan kejadian itu sebagai salah satu tragedi bot karam paling dahsyat pernah berlaku.
Angka kematian meningkat sejak mayat pertama ditemukan pada Khamis lalu.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi menyifatkan insiden bot karam itu sebagai tragedi yang menyayat hati.
Katanya, operasi mencari mangsa yang masih hilang tetap diteruskan selepas waktu malam.
Sekurang-kurangnya 14 mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital di Syria manakala enam lagi dibenarkan keluar dari hospital.
Agensi berita SANA melaporkan dua mangsa masih dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Al-Basel.
“Angka kematian akibat bot yang karam di pantai Tartus kini meningkat kepada 94 orang,” lapor televisyen kerajaan.
Terdahulu, Tentera Lubnan memaklumkan pihaknya sudah menahan seorang penduduk negaranya yang mengakui terlibat dalam operasi penyeludupan warganya baru-baru ini dari Lubnan ke Itali melalui laluan laut.
Seramai 150 orang berada dalam bot kecil yang karam di pelabuhan Tartus di Syria, kira-kira 50 kilometer (km) di utara Tripoli, Lubnan.
Menurut PBB, individu yang berada di dalam bot itu kebanyakannya terdiri daripada warga Lubnan, Syria dan Palestin termasuk kanak-kanak dan warga emas. – AFP