RIO DE JANEIRO: Sebuah bot penumpang yang beroperasi secara haram karam di perairan utara negara ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut.
Pihak berkuasa di negeri Para memaklumkan, sebanyak 11 mayat mangsa ditemukan dari bot tersebut yang direka hanya boleh membawa seramai 82 penumpang, manakala 63 mangsa lain yang berjaya diselamatkan.
Insiden itu menyebabkan lapan mangsa hilang dan operasi mencari giat dilakukan pasukan keselamatan.
Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan 14 orang maut dan 26 lagi hilang.
Media tempatan menunjukkan beberapa imej pasukan penyelamat menggunakan kanu untuk membawa naik mangsa yang lemas ke daratan.
Pemilik bot tersebut sebelum ini sudah pun dikenakan tindakan undang-undang selepas satu lagi botnya beroperasi secara haram.
Sehubungan itu, pihak berkuasa akan menahan pemilik bot berkenaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, polis turut mengerahkan helikopter bagi memantau operasi mencari dan menyelamat mangsa. – AFP










