fbpx

Zionis tuntut PBB bubar siasatan perang Israel-Palestin

POLIS Israel memberkas pemuda Palestin yang cedera di perkarangan Masjid AL-Aqsa.-AFP

BAITULMUQADDIS: Israel menuntut pembubaran panel penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perang Israel-Palestin pada tahun lalu.

Rejim Zionis itu mengemukakan tuntutan berkenaan sebagai bantahan terhadap kenyataan seorang daripada anggota panel itu sebagai anti-Semitik atau anti-Yahudi.

Dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, memetik kenyataan anggota suruhanjaya siasatan Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Miloon Kothari, dalam satu wawancara.

“Kami sangat kecewa dengan media sosial yang dikawal sebahagian besarnya sama ada dilobi oleh Yahudi atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tertentu. Banyak wang diperuntukkan bagi cuba memburukkan kami,” kata Kothari dalam podcast Mondoweiss pada 25 Julai lalu.

Israel bertindak memboikot siasatan itu dan menghalang kemasukan penyiasat, dengan pihaknya mendakwa dapatan awal pada Jun oleh panel terbabit adalah yang terbaru dalam siri laporan yang dikatakan berat sebelah.

“Perjuangan menentang antisemitisme tidak boleh dilakukan dengan kata-kata sajaka, sebaliknya ia memerlukan tindakan. Ini masanya untuk bertindak.

“Sudah tiba masanya untuk membubarkan suruhanjaya. Suruhanjaya ini bukan saja menyokong antisemitisme, ia menggalakkannya,” kata Lapid.

Bagaimanapun, jurucakap PBB tidak memberi maklum balas segera terhadap permohonan Israel itu tetapi Mondoweiss menerbitkan kenyataan oleh ketua suruhanjaya, Navi Pillay, yang menjelaskan komen Kothari sengaja diambil di luar konteks.

Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain termasuk Jerman, Britain dan Austria turut mengutuk kenyataan anti-Semitik oleh Kothari.

Meskipun didorong konflik Gaza selama 11 hari pada Mei 2021, mandat siasatan turut merangkumi dakwaan pelanggaran hak asasi manusia sebelum dan selepas itu, selain berusaha menyiasat punca ketegangan Israel-Palestin.

Sekurang-kurangnya 250 warga Palestin dan 13 warga Israel terbunuh dalam ketegangan yang menyaksikan Israel melancarkan serangan udara merentas kawasan penempatan di pesisir pantai, dibalas pejuang Gaza dengan melancarkan roket menyasarkan beberapa bandar Israel.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!