Singapura bukan pilih kasih   - Utusan Malaysia

Singapura bukan pilih kasih  

PENDUDUK membeli ayam dari sebuah gerai di pasar Bukit Merah View. - CNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kerajaan Singapura hanya mahu memastikan bekalan ayam di negara ini sentiasa mencukupi dan bukan bersikap memilih negara tertentu menjadi pengeksport bahan mentah itu.

Keputusan Malaysia mengehadkan eksport ayam ke pasaran luar negara bagi menjamin keperluan tempatan dilihat mengganggu rantaian bekalan makanan di negara jiran.

Bagaimanapun, langkah itu mewujudkan peluang kepada negara lain termasuk Indonesia untuk bersaing dalam pasaran eksport ayam yang kompetitif.

Bagi mengisi jurang itu, Singapura meningkatkan import daging ayam sejuk beku dari Thailand dan Indonesia.

Namun begitu, sehingga kini, Indonesia tidak pernah mengeksport ayam hidup ke Singapura walaupun negara itu mempunyai lebihan bekalan ayam.

Dalam keadaan biasa, negara itu mampu mengeluarkan kira-kira 280 hingga 300 juta ayam hidup sebulan. 

Penganalisis dari Institut ISEAS-Yusof Ishak, Siwage Dharma Negara dan Peh Ko Hsu berpandangan dalam jangka masa panjang, Indonesia hanya mampu bersaing sekiranya dapat mencari jalan untuk mengeksport bekalan ayam hidup ke Singapura.

Malaysia menghentikan eksport ayam ke Singapura sejak 1 Jun lalu berikutan kenaikan harga domestik dan bekalan terhad.

Sekatan itu hanya bersifat sementara, sebagai tindak balas kepada pengeluaran ayam lebih rendah yang menjejaskan harga dan bekalan. 

Namun larangan itu memberi implikasi besar kepada Singapura, salah satu pasaran utama Malaysia untuk eksport ayam.

Singapura amat bergantung pada makanan import, malah, kira-kira 34 peratus import ayam republik itu adalah dari Malaysia manakala 49 peratus dari Brazil dan 12 peratus dari Amerika Syarikat (AS).

Hampir kesemuanya diimport dalam bentuk ayam hidup yang disembelih dan disejukkan di Singapura, tidak seperti import beku daripada dua pembekal utama lain. 

PERMINTAAN LESEN EKSPORT  

Indonesia tidak mempunyai akses untuk membekalkan ayam ke Singapura selama bertahun-tahun.

Bekalan ayam hidup dari Malaysia adalah lebih mudah dan murah memandangkan boleh dibawa menerusi laluan darat.

Penghantaran menerusi laluan laut dari pulau berdekatan di Indonesia pula hanya menambah kos bagi jumlah ayam diimport sedemikian. 

Pada 30 Jun lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) meluluskan import daging ayam beku, sejuk dan diproses dari Indonesia.

Ia akan mengambil masa sebelum Indonesia menjadi pengeksport daging ayam yang kompetitif bagi Singapura.

Pada masa ini, hanya tiga syarikat mendapat kelulusan daripada SFA iaitu Charoen Pokphand Indonesia-Bahagian Makanan, Ciomas Adisatwa-Plant Pemalang dan Charoen Pokphand Indonesia (CPIN).

Charoen Pokphand Indonesia dan Ciomas Adisatwa memperoleh kelulusan mengeksport daging ayam sejuk beku dan kepingan ayam, manakala CPIN mendapat lesen untuk mengeksport daging ayam yang diproses. 

Menurut Pengarah Pemprosesan dan Pemasaran Hasil Ternakan di bawah Kementerian Pertanian Indonesia, sekurang-kurangnya 10 lagi syarikat besar dalam proses menerima lesen eksport.

Bagi republik ini, langkah menambah Indonesia dalam senarai pembekal daging ayam dilihat akan meningkatkan daya tahan sektor makanan negara itu.  

Untuk Indonesia pula, manfaat itu mungkin melangkaui pasaran Singapura dan membuka peluang eksport ke pasaran Asia Tenggara lain termasuk Brunei dan Malaysia.

RISIKO EKSPORT BEKALAN AYAM HIDUP 

Indonesia berdepan cabaran terutamanya memikirkan cara untuk mengeksport ayam hidup ke Singapura melalui laluan laut. 

Terdapat risiko tinggi sebahagian besar setiap penghantaran boleh hilang akibat kematian atau kecederaan ternakan ketika perjalanan dari pusat pengeluaran di pulau Jawa, Indonesia ke Singapura.

Sekiranya penduduk Singapura mendapati bekalan ayam Indonesia mempunyai kualiti sama dan harga berpatutan berbanding Malaysia, maka negara itu berkemungkinan meneruskan import dari Indonesia. 

Bagaimanapun, Indonesia akan menghadapi persaingan sengit dengan Malaysia dan Thailand dalam pasaran ayam dan itik.

Apabila Malaysia menarik balik sekatan eksport ayam sepenuhnya, Singapura akan terus bergantung kepada Malaysia untuk bekalan ayam hidup.  

Dalam jangka masa panjang, Indonesia hanya mampu bersaing dalam pasaran eksport ayam sekiranya boleh mengeksportnya dalam bentuk ayam hidup ke Singapura. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya