PETALING JAYA: Seluruh anggota PKR Pandan perlu terus mengekalkan kesatuan, memperkukuh gerak kerja jentera serta memastikan parlimen itu kekal menjadi kubu kuat parti berkenaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu diingatkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan bersama pimpinan PKR Pandan ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
“Dalam pertemuan ini, pimpinan Pandan menyatakan kesetiaan kepada parti serta komitmen untuk memperkukuh gerak kerja di Cabang Pandan.
“Presiden turut berpesan agar amanat ini disampaikan kepada seluruh anggota Keadilan Pandan: kekalkan kesatuan, gerakkan jentera dan pastikan Parlimen Pandan terus kekal milik Keadilan,” katanya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.
Ahad lalu, bekas ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.
Beliau yang mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN










