15 individu ditahan, bakar suar untuk promosi kedai pakaian

15 individu ditahan, bakar suar untuk promosi kedai pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 15 individu ditahan selepas mereka dipercayai  mencetuskan gangguan awam dengan terlibat dalam konvoi kenderaan pacuan empat roda dan motosikal scrambler elektrik sambil membakar suar di Jalan Sultan Ismail di sini.

Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 30 tahun itu diberkas dalam serbuan di Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil, Selangor oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita yang merupakan pemilik kedai, pekerja serta individu yang diupah bagi mempromosikan jualan pakaian mereka.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit melakukan aksi berbahaya itu dipercayai bagi mempromosikan sebuah kedai pakaian milik salah seorang individu yang ditahan.

“Lapan daripada 15 individu yang ditahan dipercayai diupah oleh pemilik kedai dengan bayaran antara RM50 hingga RM700 untuk melakukan aksi berbahaya termasuk membakar suar.

“Manakala wanita yang ditahan pula berperanan sebagai koordinator yang menguruskan sesi penggambaran,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor dan dua motosikal scrambler elektrik digunakan dalam aksi berkenaan turut dirampas.

Jelasnya, kenderaan pacuan empat roda itu disewa oleh pemilik kedai pakaian berkenaan manakala motosikal digunakan adalah milik salah seorang individu yang diupah.

“Semakan lanjut mendapati motosikal itu tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan di jalan raya, sebaliknya hanya dibenarkan digunakan bagi aktiviti off-road,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, semakan mendapati kain rentang yang memaparkan nombor 6.6 merujuk kepada ulang tahun keenam pembukaan kedai pakaian milik mereka yang beroperasi di Dengkil, Selangor.

Sazalee berkata, kesemua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Kakisan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Semalam, polis memburu sekumpulan individu yang didakwa mencetuskan gangguan awam di Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN