PETALING JAYA: All Star Influencers Award (ASIA) 2026 kembali dengan skala lebih besar dan berpengaruh apabila menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari lebih 20 negara menerusi gerakan promosi pelancongan digital merentasi Malaysia selama tujuh bulan.
Penganjuran tahun ini dijangka menjadi antara kempen promosi digital terbesar di Asia apabila melibatkan gabungan lebih 500 juta pengikut merentasi pelbagai platform media sosial termasuk Instagram dan TikTok.
Program berprestij itu dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pendekatan promosi digital moden yang lebih dekat dengan generasi global masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran kali ini membawa misi lebih besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan dan industri kreatif digital di rantau Asia menerusi platform All Star Influencers Award (ASIA).
Menurut beliau, ASIA2026 bukan lagi sekadar sebuah malam anugerah tahunan, sebaliknya berkembang menjadi platform global yang menghubungkan industri pelancongan, kandungan digital, budaya dan komuniti kreatif antarabangsa.
“ASIA2026 hadir dengan visi yang jauh lebih besar dan lebih menyeluruh. Kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan yang menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan secara lebih efektif dan berimpak tinggi.
“Pengaruh media sosial hari ini memainkan peranan sangat besar dalam menentukan trend pelancongan global. Apa yang dipaparkan oleh pencipta kandungan mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mengenali sesebuah negara, budaya dan destinasi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, atas faktor itu, pihaknya menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari pelbagai negara bagi memastikan Malaysia menerima liputan organik yang lebih meluas sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, sokongan MOTAC dan Tourism Malaysia turut menjadi langkah penting dalam memastikan kempen promosi tersebut mampu memberi impak jangka panjang kepada industri pelancongan negara.
“Sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan, delegasi pempengaruh tempatan dan antarabangsa akan menjelajah ke negeri-negeri terpilih antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.
“Setiap destinasi bakal menampilkan pengalaman unik melibatkan pelancongan, budaya, warisan, makanan tradisional, gaya hidup tempatan, seni kreatif, aktiviti komuniti serta lokasi ikonik yang akan dipromosikan secara langsung kepada jutaan pengikut di seluruh dunia,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2023, ASIA terus menunjukkan pertumbuhan luar biasa apabila ASIA2023 merekodkan 205 juta tontonan digital, meningkat kepada 518 juta capaian menerusi ASIA2024 sebelum melonjak kepada lebih 1.6 bilion capaian digital melalui tanda pagar rasmi #AllStarInfluencersAward2025, sekali gus membuktikan kekuatan pengaruh pelancongan digital dalam mempromosikan Malaysia ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN










