Salman Rushdie kini bergantung kepada ventilator - Utusan Malaysia

Salman Rushdie kini bergantung kepada ventilator

SALMAN Rushdie dikejarkan ke hospital dengan sebuah helikopter berhampiran Institut Chautauqua selepas serangan itu. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penulis kontroversi, Salman Rushdie dilaporkan cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika berada di atas pentas di sebuah acara di Institut Chautauqua, barat New York.

Salman, 75, sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh kerana penulisan bukunya yang menghina kitab suci Al-Quran.

Menurut polis, Salman dikejarkan ke hospital dengan sebuah helikopter sejurus serangan itu yang berlaku kira-kira 11 pagi (waktu tempatan).

Salman mengalami kecederaan di bahagian leher dan badan akibat tikaman tersebut.

Pembantunya, Andrew Wylie berkata, Salman kini bergantung kepada mesin ventilator dan tidak dapat bercakap selepas menjalani pembedahan selama beberapa jam.  

“Khabar buruk, Salman mungkin kehilangan sebelah matanya. Malah, saraf di lengannya terputus dan hatinya ditikam,” katanya menerusi emel.

Ketika kejadian, Salman diperkenalkan untuk memberi ceramah kepada ratusan hadirin di institut itu sebelum suspek menyerbu ke atas pentas dan bertindak menyerangnya serta seorang lagi individu.

Tetamu bergegas ke pentas untuk membantu menangkap suspek sebelum seorang anggota polis bertugas mengawal keselamatan di acara itu menahan lelaki tersebut. 

Polis mengenal pasti suspek sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairview, New Jersey, yang membeli tiket untuk menghadiri acara tersebut.

Dilaporkan, moderator acara, Henry Reese turut mengalami cedera ringan di bahagian kepala.

Polis berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan penyiasat Persekutuan untuk mengenal pasti motif serangan.

Salman yang dilahirkan di Mumbai sebelum berpindah ke United Kingdom (UK), menerima ancaman bunuh bagi penerbitan novel keempat berjudul The Satanic Verses yang dilaporkan mengandungi petikan menghina agama Islam.  

Salman menerima ancaman sejak akhir 1980-an apabila pemimpin agama Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa hukum bunuh terhadapnya susulan penerbitan bukunya berunsur menghina agama Islam. – AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.